PELAKON Amar Baharin bersama Amyra Rosli. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Gara-gara drama bersiri Suamiku Encik Sotong menjadi popular, dua pelakon utamanya iaitu Amyra Rosli dan Amar Baharin dikatakan bercinta.

Amyra ketika ditemui mengakui, mereka memang rapat tetapi hubungan itu sekadar rakan sesama pelakon.

“Kami serasi berlakon bersama. Sebelum ini kami pernah digandingkan bersama, namun disebabkan watak berlainan tiada pula yang mengaitkan kami.

“Selepas Suamiku Encik Sotong, orang mula bercakap-cakap seolah-olah kami ada hubungan istimewa. Saya anggap itu semua gosip semata-mata,” katanya.

Mereka yang bakal digandingkan sebagai pasangan kekasih dalam sebuah lagi drama berjudul Cik Bunga dan Cik Sombong dan dalam masa yang sama Amar turut melantik ibu Amyra iaitu Noor Zaridah Ahmad sebagai pengurusnya membuatkan hubungan itu kelihatan lebih intim.

Ia sekali gus membuatkan peminat mula membuat pelbagai andaian.

Mengulas mengenai jika ditakdirkan mereka ada jodoh bersama, Amyra berkata, dia tidak kisah siapa pun jodohnya.

Andai kata bertemu jodoh dengan pelakon, dia menerima dengan hati yang terbuka.

Bagi Amar pula, dia tidak kisah dengan ‘cakap-cakap’ orang mengenai hubungannya dengan Amyra.

Sebagai artis, dia menganggap ia adalah asam garam dalam kerjaya dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Sebagai seorang artis saya perlu berdepan dengan masalah seperti ini. Tidak perlu marah dan melenting kerana orang bebas bercakap apa saja.

“Apa pun saya sentiasa berhati-hati dalam setiap pergerakan dan perbuatan yang dilakukan.

“Saya memang kenal dan baik dengan Amyra sebelum kami berlakon dalam Suamiku Encik Sotong lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 4:15 PM