MOHD Faizullah Norazham dibantu orang ramai setelah empat jarinya hancur apabila tersepit ke dalam mesin tebu. FOTO ihsan pembaca
MOHD Faizullah Norazham dibantu orang ramai setelah empat jarinya hancur apabila tersepit ke dalam mesin tebu. FOTO ihsan pembaca
Oleh Nur Syazwana Mansor


Gurun: Empat jari tangan kiri remaja lelaki dipercayai hancur apabila tersepit ke dalam mesin pemerah tebu dalam kejadian di Taman Gurun Jaya, di sini, tengah hari tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah hari ketika mangsa Mohd Faizullah Norazham, 18, sedang berniaga air tebu di kawasan perumahan itu.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa sedang berbual dengan seorang rakan yang datang ke gerainya itu.

"Ketika sedang berbual, secara tiba-tiba pergelangan tangan kirinya itu termasuk dalam mesin pemerah tebu berkenaan.

"Mangsa yang panik ketika itu hanya mampu menjerit meminta bantuan sebelum rakannya itu bertindak mematikan suis mesin berkenaan," katanya.

Katanya, berikutan itu mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan ambulan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan tentang kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 6:35 PM