FIZZ Fairuz pada tayangan perdana Filem Cicakman 3 awall bulan ini. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Oleh Rudy Imran Shamsudin

Kuala Lumpur: Anak kepada pasangan popular Fizz Fairuz dan Almy Nadia, Nur Afriana Ariana, masih belum sihat sepenuhnya daripada penyakit jaundis (demam kuning).

Fizz menjelaskan perkara itu selepas ditanya wakil media mengenai keadaan anak sulungnya yang dilahirkan pada 16 Februari lalu di majlis sidang media filem Munafik, di sini, malam tadi.

Afriana mengalami jaundis selepas dilahirkan, dan terpaksa ditahan di hospital selama tiga hari.

"Selepas keluar dari hospital bacaan penyakit jaundis semakin berkurangan tetapi beberapa hari kebelakangan ini ia meningkat sehingga 193. Sebelum itu paling tinggi bacaan demamnya mencecah 348.

"Saya cuba melakukan rawatan secara tradisional dengan menjemur bayi di bawah cahaya matahari. Namun doktor tidak menggalakkan kerana keadaan cahaya matahari sekarang ini tidak baik untuk kesihatan," katanya.

Perkembangan itu membuatkan pelakon yang turut membintangi filem Cicakman 3 itu risau.

"Doktor ada memberitahu yang sekiranya kesihatan bayi tidak berubah, darahnya harus diambil dan pemeriksaan hati perlu dilaksanakan.

"Saya bimbang andai perkara itu berlaku. Namun ada yang berkata penyakit jaundis akan hilang mengikut hari ibunya berpantang. Saya benar-benar berharap perkara itu akan terjadi dan anak akan sihat sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 11:41 PM