MD Jais (duduk) ketika membuat lawatan kerja.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 23 Mac ini bukan saja mendapat liputan meluas 47 agensi media tempatan dan 20 organisasi media asing, malah dijadikan sebuah dokumentari khas saluran National Geographic.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Md Jais Sarday berkata, ia detik bersejarah bagi rakyat negeri ini selepas kali terakhir istiadat kemahkotaan diadakan ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim pada 10 Februari 1960.

“Sekurang-kurangnya sembilan istiadat diadakan bermula 16 Mac ini dengan istiadat meletak kerja diikuti acara kemuncak pada 23 Mac dan dilanjutkan selama sebulan dengan keberangkatan Sultan Ibrahim ke semua daerah.

“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuat dokumentari khas detik bersejarah ini dan sudah berkampung dengan mengikuti kehidupan Tuanku sejak tiga bulan lalu selain dijangka ditonton dua bulan selepas istiadat ini.

“Menerusi dokumentari yang diadakan, kami mahu rakyat faham sejarah kesultanan Johor termasuk bagaimana British mengiktiraf penggunaan gelaran Sultan dari dulu hinggalah ke warisnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan di Pusat Media Kemahkotaan Johor di Dewan Jubli Intan Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 9:34 AM