Oleh Shahrul Nizam Mohamad


Kuantan: Tiga lelaki ahli 'Geng Hafiz Batu Hitam' yang dipercayai aktif melakukan samun di bandar ini, tumpas apabila ditahan polis selepas empat jam menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, dekat Beserah, kira-kira jam 6.40, petang semalam.

Ketiga-tiga lelaki itu berusia 32 hingga 18 tahun yang tinggal di Beserah, di sini, ditahan di rumah masing-masing di Beserah oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selepas menerima maklumat berhubung kejadian terbabit, kira-kira jam 10.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebelum kejadian, seorang daripada ahli kumpulan itu meminjam motosikal milik jirannya dengan alasan mahu ke kedai untuk membeli barang dapur.

"Suspek yang bersenjatakan sebilah pisau kemudian bersama tiga lagi rakannya yang sedang menunggu dengan sebuah lagi motosikal lain menaiki kenderaan masing-masing menuju ke kedai runcit mangsa," katanya.

Beliau berkata, ketika tiba di kedai runcit mangsa, suspek masuk dan berpura-pura membeli barang sebelum mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa berusia 50 tahun lalu menyelongkar mesin juruwang.

Katanya, suspek merampas wang tunai RM2,500 dan melarikan diri dengan menaiki motosikal sebelum mangsa bertindak mengekori mereka dengan menaiki sebuah kereta.

Abdul Aziz berkata, hasil tindakan mangsa mengekori suspek berjaya mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal dinaiki mereka sebelum menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuantan untuk meminta bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 7:05 PM