KERETA api laju yang boleh mencecah 280 kilometer sejam.
GERAI yang menjual makanan halal di Tokyo.
GADIS berpakaian kimono di Asakusa.
SURAU gedung membeli-belah Takashimaya Tokyo.
DISNEYLAND Tokyo.
PENULIS (kiri) bersama rakan media dan Shibata di Restoran Rasa Tokyo.
Oleh Roslan Ibrahim

Jepun mempunyai empat musim berbeza iaitu musim bunga dari Mac hingga Mei, musim panas (Jun-Ogos), musim luruh (September-November) dan musim sejuk dari Disember hingga Februari. Setiap musim mempunyai tarikan dan keunikannya tersendiri.

Penulis berpeluang melancong ke Tokyo, Jepun selepas mendapat undangan Perbadanan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) Februari lalu. Ketika itu musim sejuk dengan suhu di antara 3 hingga 9 darjah Celsius.

Bersama rakan media dari Berita Harian dan Majalah Santai, kami bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi menggunakan pesawat Singapore Airline.

Kami tiba di Lapangan Terbang Haneeda, Tokyo kira-kira jam 6.10 pagi dalam cuaca yang mencengkam tulang dan disambut wakil dari JNTO, Okuda Kyoko dan Yoshiro Shibata yang tersenyum sebaik melihat kami melambai-lambai ke arah mereka. Masing-masing seronok melihat asap yang keluar berkepul-kepul daripada mulut apabila bercakap.

“Macam ni tak payah lagi hisap rokok...,” kata saya sambil disambut ketawa rakan-rakan lain.

Kami mengerjakan solat Subuh di lapangan terbang dan kerajaan Jepun menyediakan kemudahan tempat beribadat bagi menarik pelancong Islam terutama dari Malaysia dan negara Timur Tengah.

Program pertama kami ialah mengunjungi Masjid Camii (Jamek) Tokyo di tengah bandar raya itu. Ia masjid terbesar di Tokyo yang dibina pada 1938 oleh masyarakat Turki yang berhijrah dari bandar Kazan, Russia.

Masjid Camii mudah dikenali kerana seni bina mengagumkan, dicat putih dan memiliki kubah besar.

Saya bertemu penyelaras masjid itu, Bilal Ateley yang mempunyai isteri warga Jepun.

Beliau berkata, masjid itu dibina semula pada tahun 2000 menggunakan 100 arkitek dan tukang dari Turki, malah bahan binaan dibawa khas dari negara terbabit untuk memastikan ia menepati seni bina Ottoman Turki.

Masjid Camii mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah dan digunakan untuk solat fardu dan Jumaat, Ia menjadi tempat bertemu masyarakat Islam di Tokyo termasuk perayaan besar seperti Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan Aidilfitri.

“Dewan serba guna masjid ini digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti pameran, ceramah, majlis perkahwinan dan pusat bagi perkembangan Islam di Tokyo,” katanya.

Bilal turut memberitahu bahawa ada 60 masjid dan rumah ibadat untuk umat Islam di Jepun dan ia turut dikunjungi masyarakat tempatan yang ingin tahu mengenai Islam atau melihat seni bina masjid yang mengagumkan.

Kami singgah makan tengah hari di Restoran Rasa Malaysia. Melihat menu yang biasa dilihat di negara kita, saya memesan nasi goreng kampung. Tukang masak dari Pandan Indah, Kuala Lumpur yang ramah membuatkan suasana di restoran itu riuh rendah apatah lagi lelaki itu memberitahu dia hanya pulang ke Malaysia setahun sekali.

Sesekali saya mengusiknya sama ada mempunyai teman wanita atau isteri perempuan Jepun tapi dia hanya menggelengkan kepala sambil terus menyediakan hidangan nasi goreng. Menu pencuci mulut ialah bubur cha cha.

Kyoko turut memesan nasi goreng kampung dan saya perhatikan sesekali dia menarik nafas panjang, mungkin tergigit cili padi. Saya makan dengan lahap nasi goreng kampung berharga 1,500 yen atau RM75 itu.

Restoran itu memang terkenal di kalangan rakyat Malaysia, malah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza pernah makan di restoran berkenaan. Sebuah lagi restoran milik rakyat Malaysia ialah Malaychan di Nishiikebukuro, Toshimaku, Tokyo.

Ada kira-kira 60 restoran makanan halal di Jepun dan dari jumlah itu, sebanyak 23 restoran terletak di Tokyo.

Restoran terbabit mendapat kelulusan Persatuan Halal Jepun dan anda boleh melayari laman web, www.jnto.go.jp untuk maklumat lanjut.

Hari kedua, kami ke Tokyo Sky Tree setinggi 350 meter, bangunan tertinggi di Jepun untuk melihat pemandangan bandaraya Tokyo sehingga jarak 70 kilometer.

Kemudian, kami dibawa ke Ginza yang terkenal dengan gedung membeli-belah terbesar, butik dan restoran malah kawasan itu dikatakan antara tempat membeli-belah terkenal di dunia.

Bagi kemudahan pelancong Muslim menunaikan solat, beberapa pusat membeli-belah menyediakan kemudahan surau, antaranya Takashimaya dan Uniqlo Ginza.

Sebelum balik ke hotel, kami singgah di Odaiba, kawasan yang dibina di Tokyo Bay dan boleh dikunjungi menggunakan kereta api melalui Jambatan Rainbow. Ia adalah pusat hiburan seperti taman tema berbumbung yang menyediakan pelbagai keseronokan dan gedung membeli-belah.

Hari ketiga, awal pagi lagi kami mengheret beg meninggalkan Hotel Agora Palace ke stesen bawah tanah Ueno untuk mengambil kereta api laju (bullet train) di Asama ke kawasan peranginan Karuizawa.

Sebelum ini saya hanya membaca atau menonton di kaca TV, kini saya merasakan sendiri kelajuannya yang mencecah 270 kilometer sejam, malah jarak Tokyo ke Karuizawa sejauh 163 kilometer hanya mengambil masa singkat.

Dengan tambang tiket 1,500 yen sehala, saya rasakan seperti terbang di angkasa dan ketika ke tandas untuk membuang air kecil, Kyoko berpesan supaya jangan mengambil masa lama kerana kereta api akan tiba di Karuizawa bila-bila masa.

Sebaik tiba di Karuizawa, suasana di sekitar putih bercahaya seperti mutiara dengan cuaca di antara -7 dan -13 darjah Celsius. Masing-masing tidak sabar untuk merakam panorama indah di Karuizawa yang diliputi salji.

Kami diberi pakaian dan kasut untuk disesuaikan dengan cuaca sejuk dan bermain gelongsor salji. Ketika ini saya seperti kembali menjadi budak sekolah, lupa segalanya dek keseronokan menggelongsor dan berguling di atas salji. Kami melempar ‘ais kepal’ salji ke arah masing-masing dan riuh rendah suasana kerana masing-masing mengelak terkena diri sendiri.

Tidak sedar hampir dua jam kami bermain salji dan Kyoko memanggil untuk makan tengah hari. Alhamdulillah, di Karuizawa juga mempunyai makanan halal dan kami menikmati kebab milik warga Turki tengah hari itu.

Selepas mendaftar masuk ke Prince Snow Resort, Kyoko mengajak kami membeli-belah di Karuizawa Prince Shopping Plaza yang mempunyai 240 kedai menjual pelbagai jenis barangan berjenama termasuk pakaian, beg tangan, makanan, buah-buahan, kasut dan cenderahati.

Panorama di Karuizawa ketika musim sejuk memang cantik apatah lagi ketika matahari terbenam, saya melihat kilauan cahaya bersatu dengan salji sehingga memberi suasana yang sukar digambar dengan kata-kata.

Esok pagi kami meninggalkan Karuizawa dalam hujan salji dan sejuk menggigil ke bandaraya Tokyo untuk melawat Disneyland. Taman tema ini yang pertama di buka di luar Amerika Syarikat dan ia adalah yang ketiga saya kunjungi, sebelum ini Disneyland Paris dan Hong Kong. Konsepnya hampir sama dengan watak kartun Mickey Mouse.

Kami sempat mengunjungi AEON Mall dan mengerjakan solat di pasar raya itu yang turut menyediakan surau dan tempat wuduk. Gedung membeli-belah empat tingkat itu terletak di Makuhari New City.

Malam terakhir di Tokyo, kami menginap di Hotel Spring di Makuhari. Hotel lima bintang itu bukan saja menyediakan tempat solat yang besar dan selesa, tetapi makanan halal bagi pelanggan Muslim.

Malah, Pengarah hotel itu, Kiyoshi Ito memberitahu saya, tempat penyediaan makanan halal diasingkan supaya tidak bercampur aduk, malah pekerja dilatih mengendalikan kaedah memasak dan menyediakan makanan halal.

Walaupun pertama kali melawat Jepun, saya mendapat 1001 pengalaman menarik. Ketika dalam pesawat Singapore Airline dari Lapangan Terbang Haneda ke Lapangan Terbang Changi, Singapura fikiran saya melayang sambil kagum dengan usaha kerajaan Jepun melakukan pelbagai usaha bagi menarik kemudahan pelancong Muslim.

Saya juga mengimbau pengalaman solat di pasar raya AEON dan bertemu warga Arab Saudi yang bekerja di Jepun. Katanya, walaupun Jepun bukan negara Islam dan tidak tahu fardu ain atau kifayah, mereka tidak pernah menganggap menyediakan kemudahan untuk umat Islam satu bebanan sebaliknya tanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 12:35 PM