JIHAN Muse memegang watak Jojie dalam Filem Rock Bro. FOTO Zunnur Al Shafiq
Oleh Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak popular Jihan Muse, 32, menafikan dia sudah bersikap ‘demand’ mengenai bayaran dan berlagak ‘diva’ di lokasi penggambaran kerana enggan berlakon di tengah panas hingga menyusahkan pengarah dan kru produksi, baru-baru ini.

Jihan berkata, soal ‘demand’ tidak pernah wujud kerana bayaran yang ditetapkan pengurusan setimpal dengan hasil kerja dilakukan.

Mengulas dakwaan dirinya berlagak diva dan tidak boleh berlakon di tengah panas, Jihan mengganggap tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

“Siapa kata saya tak boleh berlakon di tengah panas? Sebagai pelakon, apa saja watak diberikan perlu dilakonkan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Jihan, dalam penggambaran drama terbarunya berjudul Orang Gajiku Pontianak baru-baru ini, dia membawa dua watak sekali gus.

Dalam drama itu, dia bukan saja berlakon di tengah panas, tetapi juga di bawah longkang.

“Saya juga berada di lokasi penggambaran dari 8 pagi hingga penggambaran tamat 8 pagi keesokannya,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran filem terbaru Rock Bro! arahan Mamat Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 4:18 PM