MUSTAPA (enam dari kanan) dan Azman (tengah) bersama pembekal strategik pada Majlis Pelantikan Pembekal Strategik TNB.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang melakukan rundingan dengan pihak vendor untuk menyelesaikan isu peralihan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) membabitkan 4,000 kontrak aktif dalam tempoh masa terdekat.

Ketua Pegawai Perolehannya, Syed Abu Hanifah Syed Alwi berkata, langkah terbabit perlu dilaksanakan bertujuan mengurangkan implikasi pengurusan kos bersama vendor memandangkan terdapat kontrak melangkaui tempoh pelaksanaan GST.

“Kos pembelian daripada vendor TNB dijangka menurun empat peratus pada tahun ini apabila pelaksanaan GST menjelang 1 April akan datang,” katanya pada majlis pelantikan sembilan pembekal strategik TNB, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyampaikan sijil pelantikan dan turut melancarkan laman sesawang Program Pembekal Bumiputera TNB.

Secara purata, TNB membelanjakan RM9 bilion tidak termasuk kos bahan api pada tahun lalu kepada 200 vendor yang aktif dalam sektor penghantaran, pembahagian dan penjanaan tenaga elektrik dengan perbelanjaan bergantung kepada persekitaran ekonomi semasa.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd berkata, pelantikan di bawah Program Pembekal Bumiputera TNB adalah kesinambungan daripada PPVB bagi menyokong aspirasi negara memperkasakan ekonomi Bumiputera berasaskan beberapa matlamat termasuk penggantian produk import, menambah tahap kandungan tempatan dan pemindahan teknologi.

“Pemilihan vendor ini berasaskan merit, prestasi dan kelayakan agar vendor yang dipilih berupaya menjadi syarikat berdaya maju, kukuh dan progresif,” katanya.

Sembilan vendor yang dilantik adalah Amat Sinar Sdn Bhd, Hyrax Oil Sdn Bhd, Item Industrial Engineering Sdn Bhd, Indkom Engineering Sdn Bhd, Intra Bekal (M) Sdn Bhd, Tenaga Prisma Manufacturing Sdn Bhd, Salutary Avenue Manufacturing Services, Tenaga Switchergear Sdn Bhd dan Malaysian Transformer Manufacturing Sdn Bhd.

PPVB yang diperkenalkan pada 1994 berjaya mewujudkan 991 vendor sehingga tahun lalu di seluruh negara dalam kategori pengilangan, perkhidmatan dan kerja dengan jumlah kontrak terkumpul diberi kepada vendor di bawah PPVB sejak 1995 hingga Disember tahun lalu sebanyak RM8.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 7:12 AM