Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Kerajaan terus komited untuk memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, ketika ini, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

“Pada akhir 2014, keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan di dalam negeri dan luar pesisir, adalah berjumlah RM582.8 bilion atau 54.5 peratus daripada KDNK.

“Daripada jumlah itu, 97.1 peratus atau RM566.1 bilion adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.8 billion atau 2.9 peratus adalah hutang luar pesisir,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan keperluan pelaporan hutang di peringkat antarabangsa mengikut konvensyen piawaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kedudukan hutang luar negara dikira berdasarkan definisi baru yang terdiri daripada pinjaman luar pesisir oleh Kerajaan Persekutuan; perusahaan awam dan sektor swasta dan pegangan sekuriti hutang, deposit dan kredit perdagangan dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin.

Katanya, pada akhir 2014, jumlah hutang luar negara berada pada paras RM744.7 bilion atau 69.6 peratus daripada KDNK manakala pada 2013, hutang luar negara mencatat RM696.6 bilion atau 70.6 peratus daripada KDNK.

“Walaupun jumlah hutang luar negara meningkat sebanyak 6.9 peratus, namun peratusannya kepada KDNK adalah lebih rendah berbanding 2013.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 42 peratus adalah pegangan sekuriti hutang dan deposit oleh bukan pemastautin 37 peratus, hutang sektor swasta 10 peratus, hutang perusahaan awam 9 peratus, kredit perdagangan dan lain-lain pinjaman serta dua peratus adalah hutang luar pesisir Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam satu majlis berasingan berkata, paras hutang Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) terkawal kerana semua projek berdaya maju dalam jangka panjang dengan paras hutang Malaysia masih di bawah 55 peratus daripada KDNK dan adalah tidak benar beberapa PFI mungkin perlu diselamatkan.

“Mungkin terdapat tempoh matang yang panjang. Tetapi, dalam jangka panjang, ia berdaya maju dan bermanfaat kepada negara dan rakyat.

“Saya tidak nampak sebarang masalah daripada segi pembiayaan semula dan kedudukan ekonomi negara yang benar-benar kukuh serta pada landasan yang tepat,” katanya selepas pelancaran persidangan mengenai trend baru muncul bagi pengkomputeran, perniagaan dan pendidikan FTMS Global College’s Ascent 2015 di sini, semalam.

Beliau yang mengulas dakwaan bahawa PFI tidak mempunyai pendapatan operasi untuk membayar hutang itu, berkata, beberapa projek infrastruktur dibiayai melalui perbelanjaan pembangunan atau pinjaman dan operasi, melalui hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 7:14 AM