SEORANG mangsa yang terselamat terlantar di lantai hospital sementara menunggu untuk dirawat.
SEORANG mangsa yang terselamat terlantar di lantai hospital sementara menunggu untuk dirawat.
Agensi

Dhaka: Kira-kira 100 pekerja dikhuatiri terperangkap semalam apabila bumbung sebuah kilang simen yang sedang dalam pembinaan runtuh.

Seorang pegawai polis mengesahkan, empat orang terbunuh sementara kira-kira 40 orang berjaya ditarik keluar dari runtuhan itu.

Kilang berkenaan yang runtuh di bandar pelabuhan Mongla, 335 kilometer ke barat daya Dhaka, diuruskan oleh anak syarikat tentera negara itu.

“Kira-kira 150 orang, termasuk pekerja, berada dalam kilang berkenaan apabila bumbungnya tiba-tiba runtuh,” kata ketua polis Pelabuhan Mongla, Belayet Hossain.

Turut membantu gerakan mencari menyelamat ialah anggota tentera dan pelaut.

“Masih banyak mayat di dalam runtuhan itu. Kami berusaha mencari mereka yang terselamat dulu,” kata pegawai daerah Mohammad Abdus Samad.

Bangladesh mempunyai rekod buruk mengenai keselamatan bangunan.

Sebuah kompleks kedai dan kilang kecil yang runtuh pada 2013 meragut lebih 1,130 nyawa, kebanyakannya pekerja kilang kain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 7:46 AM