HAN Ji-min sebagai watak Ha-na.
HAN Ji-min sebagai watak Ha-na.
HYDE, Jekyll, Me berkonsepkan romantik komedi.
HYDE, Jekyll, Me berkonsepkan romantik komedi.
PERCINTAAN Seo-jin dan Ha-na berdepan pelbagai cabaran.
PERCINTAAN Seo-jin dan Ha-na berdepan pelbagai cabaran.
Oleh Georgie Joseph

Di alam realiti, memang sukar untuk menjangkakan bagaimana personaliti seseorang yang akan membuatkan kita jatuh cinta dengannya.

Lupakan percintaan normal antara dua insan yang biasa kita dengar, hakikatnya banyak sisi menarik kisah cinta lain di luar imaginasi kita, tetapi sebenarnya memang berlaku dalam masyarakat.

Inilah yang terkandung dalam drama Korea berjudul Hyde, Jekyll, Me yang kini ditayangkan setiap Rabu dan Khamis di saluran One HD (Astro 393) jam 8.55 malam.

Drama arahan Jo Young-kwang ini mengetengahkan sindrom ‘split personality’ atau seseorang yang memiliki personaliti bercelaru.

Menampilkan lakonan aktor tampan popular, Hyun Bin sebagai Gu Seo-jin atau Robin dan Terry yang menghidap sindrom ‘split personality’.

Watak utama wanita pula dibawa Han Ji-min sebagai Jang Ha-na sementara watak Tae-joo/Lee Soo-hyun dilakonkan Sung Joon dan Lee Hyeri sebagai Min Woo-jung.

Masih mengetengahkan genre romantik komedi, istimewanya Hyde, Jekyll, Me adalah latar belakangnya mengambil lokasi di sebuah taman tema.

Bukan saja menggambarkan kehidupan mengendalikan taman tema, tetap tetap difokuskan adalah kisah menarik orang yang bekerja di situ.

Mengisahkan Gu Seo-jin yang boleh dikatakan memiliki segala-galanya. Berwajah tampan, kaya-raya dan pintar, namun malangnya dia berdepan penyakit sentiasa bertukar personaliti.

Satu ketika dia lelaki yang cukup tenang dan disenangi, namun dalam sesaat mampu bertukar menjadi seorang pemarah.

Sukar untuk menduga personalitinya itu, kesannya paling dirasai pekerja di taman tema dinamakan Wonder Land yang dikendalikannya.

Setiap kali kadar denyutan jantungnya mencapai 150, personalitinya akan berubah.

Ada sebab kenapa Seo-jin memiliki sindrom berkenaan. Semuanya disebabkan hidupnya penuh trauma sejak kecil lagi.

Apabila bertukar personaliti, dia menganggap dirinya Robin yang mana menurut doktor peribadinya, itu hanyalah manifestasi dirinya gara-gara masih rasa bersalah terhadap insiden lalu.

Geo-jin sudah cuba sedaya-upaya mengelakkan apa-apa juga perkara yang membangkitkan pertukaran itu hingga terpaksa mengasingkan dirinya dari dunia luar.

Meksipun dia sebenarnya boleh berbangga dengan apa yang dimilikinya, namun kehidupannya tetap berdepan pancaroba apabila menjadi harapan utama keluarga untuk memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Wonder Group.

Lebih merumitkan keadaan, sepupunya Ryu Seung-yeon (lakonan Han Sang-jin) turut mahukan jawatan itu.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Jang Ha-na yang menetap lama di Amerika Syarikat (AS) pulang ke Korea Selatan.

Mengikut jejak datuk dan bapanya, dia diminta mengambil-alih tanggungjawab mengendalikan bahagian persembahan sarkas di Wonder Land.

Dari situlah semuanya bermula apabila kehadiran Ha-na sepatutnya untuk membangunkan kembali sarkas berkenaan yang mengalami kejatuhan dan harus diselamatkan. Dia berazam untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan taman tema itu.

Bagaimanapun, bukan mudah buat Ha-na kerana dia perlu berdepan dengan kerenah Seo-Jin yang ternyata mempunyai pendirian sendiri.

Hubungan mereka semakin rapat kerana perlu mencari penyelesaian terhadap kemelut taman tema itu dan sekali gus membibitkan rasa istimewa dalam hati Seo-jin terhadap sifat Ha-na.

Tanpa disedari, dia sebenarnya bakal berdepan cabaran yang lebih hebat lagi dalam hidupnya.

Dalam pada semakin terbabit dengan kehidupan Ha-na, doktor peribadi Seo-jin pula akhirnya memaklumkan kepadanya sudah menemui penawar kepada penyakit yang menghantuinya selama ini.

Bagaimanapun, perkara itu tidak disenangi pihak lain yang kemudian menculik doktor itu.

Berikutan penculikan itu, nyawa Ha-na juga hampir diragut apabila penjahat misteri berkenaan cuba membunuh wanita terbabit.

Hyun Bin suka Han Ji-min

Bercerita mengenai karakter yang dilakonkannya sebagai seorang lelaki ideal dan cukup bergaya, menurut Hyun Bin dia memilih melakonkannya atas dasar gambaran watak itu sendiri.

“Saya ada sebab kenapa memilih untuk menjayakan watak itu yang bukannya sebab dia adalah lelaki ternama saja. Konsep ceritanya yang membabitkan perpecahan personaliti, namun kedua-dua personalitinya itu dicintai wanita berkenaan memang satu pertaruhan yang cukup menarik,” katanya.

Bukan saja menerusi drama itu, gandingan berkenaan sebenarnya turut berlakon sama dalam filem The Fatal Encounte

Menerusi filem berkenaan, topik hangat turut tercetus apabila badan sasa Hyun Bin menjadi bual yang sebenarnya tiada guna kerana dia perlu menukar fizikalnya untuk Hyde, Jekyll, Me.

“Saya ada bertanya dengan produksi drama itu sebelum ini badan macam mana yang mereka mahukan untuk watak saya. Mereka menolak untuk saya berbadan sasa dan saya terpaksa menaikkan berat badan untuk siri itu,” katanya.

Berkenaan gandingannya dengan aktres jelita itu pula, dia tidak menafikan cukup terpikat dengan Han Ji-min yang baginya sungguh cantik di matanya.

“Han Ji-min adalah adalah aktres paling cantik di mata saya. Saya sudah katakan perkara itu sebelum ini dan sebenarnya ia memang benar pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 11:45 AM