BANDUAN beragama Islam diajar membaca dan mendalami al-Quran.
BANDUAN beragama Islam diajar membaca dan mendalami al-Quran.
BANDUAN diberi penerangan ringkas mengenai aktiviti yang perlu diikuti.
BANDUAN diberi penerangan ringkas mengenai aktiviti yang perlu diikuti.
AKTIVITI terapi berkumpulan bersama warden.
AKTIVITI terapi berkumpulan bersama warden.
BARISAN warden di Penjara Wanita Kajang sedia berkhidmat untuk negara.
BARISAN warden di Penjara Wanita Kajang sedia berkhidmat untuk negara.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Tubuh yang tinggi lampai, memiliki seraut wajah jelita, cantik dan manis menawan mungkin sesuai bagi empunya yang bercita-cita ingin menjadi model, pramugari penerbangan paling tidak pun pelakon.

Namun, berlainan situasi itu apabila penulis bertemu wanita yang memiliki ciri-ciri itu ketika mempunyai tugasan di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Dalam situasi tenang di sebalik pintu masuk Penjara Wanita Kajang, penulis bertemu Koperal Zuriani Mamat, 40, yang berkhidmat selama 13 tahun di penjara itu.

Sesuai dengan ketinggiannya untuk berkhidmat sebagai wadar, Koperal Zuriani dari Kuala Krai, Kelantan berminat dalam kerjaya itu sebagai platform untuk mendidik dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat di penjara.

Ketika pertama kali melapor diri di penjara itu, dia mengakui agak gementar memikirkan perlu berhadapan dengan banduan yang mempunyai pelbagai jenayah apatah lagi mendengar pelbagai hal negatif di luar.

Tanggapan negatif itu singgah di pemikirannya kerana tidak mempunyai maklumat tepat mengenai situasi dalam penjara.

Lama kelamaan dia memahami rentak dan situasi banduan dalam penjara itu kerana meskipun banduan dijatuhkan hukuman, mereka bukan sesuka hati boleh berkelakuan ganas, berdendam dan mencari gaduh sesama sendiri atau dengan warden.

Katanya, warden perlu memahami pergerakan dan pemikiran banduan.

“Mereka yang bermasalah adalah di kalangan banduan yang tidak mengikuti perjumpaan atau mengikuti aktiviti kerana mereka tidak didedahkan dengan situasi dalam penjara.

“Warden perlu berkomunikasi, memahami masalah dan keinginan banduan, sekali gus membantu banduan mengikuti aktiviti seharian.

“Komunikasi tegang antara warden dengan banduan menyebabkan mereka tidak mahu mengikuti peraturan yang ditetapkan, sekali gus menimbulkan perbuatan salah laku terhadap warden.

“Dalam kes tertentu, banduan memerlukan sabun mandi, tetapi tidak mendapat barang keperluan harian itu dan ini mencetuskan pemberontakan dalam penjara dan pergaduhan sesama rakan banduan,” katanya.

Koperal Zuriani menimba pengalaman mengawal di blok penjara selama setahun sebelum diserap ke Unit Agama.

Menurutnya, banduan tempatan yang tamat Fasa 1 (pembentukan disiplin) akan menjalani program Fasa 2 (pembentukan sahsiah) mengikut modul yang ditetapkan oleh pihak penjara.

Selepas selesai menjalani program Fasa 2 banduan akan ditemuduga, dianalisa minatnya dan diberi penilaian sama ada layak atau tidak untuk mengikuti latihan berkemahiran dalam Fasa 3.

Bengkel kemahiran yang disediakan meliputi bengkel menjahit, salun, katering, sejuk beku dan kerja tangan.

Mereka juga menerima Sijil Kemahiran Negara dan boleh digunakan di luar penjara.

Apabila dibebaskan, mereka boleh memohon memasuki industri dalam bidang kemahiran sambil menjalani baki hukuman (parol) di luar penjara.

Pun begitu, pengalaman hampir 12 tahun sebagai pembantu guru agama benar-benar terkesan di hati Koperal Zuriani.

“Ia amat menyedihkan apabila melihat banduan memiliki nilai didikan agama yang sangat cetek, malah perkara asas dalam agama Islam pun mereka tidak tahu.

“Dalam satu kes seorang wanita dalam lingkungan 60-an ditangkap dan dimasukkan ke sini atas kesalahan bersubahat melindungi pendatang asing.

“Saya sedih kerana wanita yang sebaya dengan ibu saya apabila disuruh menunaikan solat, dia terkeliru untuk mengambil wuduk dan menunaikan solat.

“Justeru, saya bertanggungjawab membantu mereka mendekati Islam. Daripada tidak mengenal huruf, tidak tahu mengeja dan membaca sekarang mereka sudah mengenal huruf dan membaca ayat-ayat al-Quran,” katanya.

Namun, tugas yang tergalas di bahu Koperal Zuriani terbatas di dalam penjara itu saja kerana apabila banduan dibebaskan, warden tidak lagi mempunyai hubungan dengan mereka.

“Kebanyakan banduan mempunyai sejarah dan latar belakang daripada keluarga porak peranda dan tidak diberi perhatian menyebabkan ramai terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Jika banduan tidak mempunyai keluarga atau tempat tinggal, bahagian kebajikan penjara wanita cuba membantu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 1:10 PM