Shandong: Seorang pelajar di sini yang memutuskan untuk hidup tanpa dosa dan maksiat, memotong sendiri kemaluannya di rumah, sebagai cara menghapuskan kemahuan seks.

Menurut akhbar Minnan Online, pelajar itu tiba di sebuah hospital minggu lalu dengan kecederaan teruk pada kemaluannya dan mengaku dia melakukannya sendiri.

Pelajar berkenaan yang namanya tidak didedahkan berkata, dia mengguna pisau untuk memotong kemaluannya itu dan menjahit lukanya.

Apabila tidak dapat lagi menanggung kesakitan beberapa jam selepas itu, dia mengambil keputusan untuk ke hospital berhampiran.

Memandangkan jarak masa yang lama antara dia mula memotong kemaluannya dan ketibaannya di hospital, pihak berkuasa berkata, alat sulitnya tidak boleh disambung semula.

Ini bukan kali pertama kejadian membedah diri sendiri berlaku di China.

Pada 2013, seorang lelaki Hong Kong memotong kemaluannya kerana mahu menjadi wanita.

Tahun lalu, seorang petani di Anhui memotong sendiri kakinya yang dijangkiti kuman kesan daripada luka beku kerana tidak mampu membayar kos pembedahan di hospital. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:19 AM