London: Pendahulu Liga Perdana Chelsea kembali menumpukan perhatian kepada aksi tempatan minggu ini selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara gara-gara tewas di tangan Paris Saint-Germain, kelmarin.

Kemenangan ke atas Tottenham Hotspur pada final Piala Liga dilihat mampu memacu kecemerlangan anak buah Jose Mourinho, tetapi semuanya serba tidak menjadi apabila tersingkir daripada Liga Juara-Juara susulan hanya seri 2-2 di Stamford Bridge.

Kegagalan Chelsea menang walaupun menentang 10 pemain PSG membuatkan media British mengkritik mereka dengan teruk.

Mereka bagaimanapun masih berada pada landasan terbaik untuk merangkul gelaran Liga Perdana musim ini apabila mengatasi pasukan tempat kedua, Manchester City dengan lima mata, tetapi Southampton sedia untuk mengambil kesempatan atas kesilapan Chelsea ketika bertandang ke Stamford Bridge malam esok.

“Kami perlu bangkit dan menang hujung minggu ini,” kata pertahanan Chelsea John Terry. “Skuad ini mempunyai pengalaman luas untuk bangkit serta merta.

“Kami sudah memenangi Piala Liga dan Liga Perdana tumpuan kami ketika ini. Pengurus kata jika kami menang Piala Liga dan Liga Perdana, ia pencapaian terbaik kami tahun ini.

“Southampton akan datang ke sini dengan semangat tinggi dan jika kami tidak berhati-hati, kami pasti menerima padah dan peluang memenangi Liga Perdana mungkin pudar.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:20 AM