JUN Hoong
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Terjunan konsisten Leong Mun Yee yang digandingkan bersama Cheong Jun Hoong menghadiahkan pingat pertama buat negara apabila mereka meraih perak Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2015 di China, semalam.

Percaturan saat akhir untuk menurunkan Jun Hoong, menggantikan tempat pemenang pingat gangsa Olimpik London, Pandelela Rinong nyata membuahkan hasil.

Gandingan dua penerjun negara yang beraksi dalam acara 10 meter platform seirama itu mengumpul 320.28 mata, ketinggalan 25.08 mata kepada penerjun tuan rumah, Chen Ruolin dan Liu Huixia yang meraih emas.

Penerjun China itu mengumpul 345.36 mata, jauh meninggalkan pesaing lain dengan terjunan konsisten untuk menguasai acara itu sejak terjunan kedua.

Gangsa milik pasangan Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion yang mengumpul 310.86 mata.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Persatuan Renang Amatur Malaysia Mae Chen berkata, keputusan menurunkan Jun Hoong bukan kerana Pandelela bermasalah, cuma membabitkan strategi skuad negara.

“Gandingan Mun Yee dan Jun Hoong bukan baru, malah memang menjadi amalan buat kem negara membuat penukaran penerjun pada saat akhir.

“Kita hanya ada tiga wakil yang beraksi di Siri Pertama ini dengan Mun Yee, Jun Hoong dan Pandelela. Pada Siri Pertama ini, Mun Yee akan beraksi dalam acara terjun seirama manakala Pandelela 10m platform individu.

“Pencapaian Mun Yee dan Jun Hoong ini membanggakan kerana mereka tidak diletakkan sebarang sasaran sekadar percubaan untuk melihat keberkesanan kombinasi baru itu,” katanya.

Justeru katanya, perak itu disifatkan permulaan bagus buat skuad terjun negara yang akan berlepas ke Dubai untuk menyertai Siri Kedua pada 19 hingga 21 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:23 AM