Pemain Perak, Ahmad Sukri Hamid (kiri) menanduk bola melepasi pemain PDRM dalam pertemuan mereka untuk perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Ipoh, malam tadi. FOTO Supian Ahmad
Oleh Azizan Hashim

THE Bos Gaurus terkulai di laman sendiri dibedil 1-3 oleh The Cops di Stadium Perak, malam tadi.

Keputusan itu meleburkan rekod tanpa kalah Perak dalam empat perlawanan sebelum ini.

Lebih malang buat tuan rumah apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohd Syazwan Roslan dilayang kad merah pada minit ke-56 kerana mengasari Ali Ashfaq.

Apapun pada perlawanan itu anak buah Azman Adnan dengan awang importnya Dramane Traore, Mohamadou Sumareh dan Ali Ashfaq membuktikan kehebatan mereka apabila 'mengganas' pada babak kedua untuk memusnahkakan tuan rumah.

Benteng The Bos Gaurus yang sebelum itu hanya melepaskan dua gol tidak dapat berbuat apa untuk menyekat trio serangan PDRM.

Percaturan Karathu menurunkan Bobby Gonzales buat pertama kali musm ini gagal apabila pemain itu tidak efektif dan digantikan pada babak kedua.

Perak cemerlang selepas rehat dan berjaya membuka jaringan melalui Mohd Nurridzuan Abu Hassan seminit saingan babak kedua bersambung.

Bagaimanapun, kegembiraan 15,000 penyokong tuan rumah hanya bertahan satu minit apabila PDRM memadam kelebihan itu melalui sepakan penalti Traore selepas Ali dijatuhkan penjaga gol, Zamer Selamat pada minit ke- 47.

Shahurain Abu Samah kemudian meletakkan pelawat di hadapan apabila menanduk hantaran Sumareh lapan minit kemudian.

Traore menambah sengsara Perak apabila menanduk masuk sepakan percuma pada minit ke-60 untuk kemenangan bergaya The Cops

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 11:26 PM