AP

Melbourne: Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mencatat rekod meraih petak utama buat kali keempat di Grand Prix Australia, menjelang musim baru perlumbaan Formula Satu (F1) selepas menguasai sesi ujian kelayakan semalam.

Juara F1 musim lalu itu mencatat masa satu minit 26.327 saat di Litar Albert Park, beza 0.6s dengan pelumba kedua terpantas serta rakan sepasukan, Nico Rosberg, tatkala Marcedes menguasai barisan depan petak perlumbaan.

Prestasi Mercedes dilihat sambungan kepada rentak cemerlang musim lalu apabila menguasai perlumbaan pada 2014.

Catatan masa Hamilton dibezakan 1.4s berbanding pelumba ketiga terpantas, Felipe Massa dari Williams, menunjukkan perbezaan ketara antara pasukan F1.

“Saya tidak rasa tempoh yang lama untuk kami kembali sejak perlumbaan terakhir musim lalu. Hari ini (semalam) kami memperoleh keseimbangan yang tepat. Saya begitu terharu dengan segala penat lelah yang perlu ditempuhi,” kata Hamilton, yang menjadi pelumba pertama memenangi empat kali petak utama di Australia.

Rosberg berkata, dia tidak terlalu memikirkan jurang yang besar selepas dia menamatkan aksi kelayakan di belakang rakan sepasukan dan musuh paling rapat untuk perebutan kejuaraan musim lalu.

“Lewis mempamerkan pemanduan cemerlang hari ini (semalam), dia melakukan tugas dengan baik dan berjaya mencatat masa pantas. Saya tidak ingat berapa kali melakukan pusingan untuk mencatat masa kelayakan. Saya tidak bimbang mengenai kepantasan langsung. Mungkin saya mampu mengubahnya esok (hari ini).

Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen mencatat masa keempat dan kelima terpantas, mengatasi Valtteri Bottas dari Williams.

“Mereka berada dalam kategori berbeza. Ia bukan bagus untuk melihat situasi seperti ini tetapi kami akan terus kerja keras dan berjuang dengan harapan mampu menyamai kemampuan mereka,” kata Massa dari Mercedes.

Pelumba tempatan yang menjadi tumpuan, Daniel Ricciardo mencatat masa ketujuh terpantas apabila Red Bull sekali lagi berdepan masalah dengan penggunaan enjin Renault,

Dia mengatasi pelumba Toro Rosso, Carlos Sainz Jr dan Lotus, Romain Grosjean dan Pastor Maldonado apabila memberikan aksi mengagumkan pada penampilan pertama di pusingan kelayakan.

Ia juga hari yang malang buat McLaren, pasukan paling berjaya dalam sejarah F1, apabila dua jentera mereka memulakan perlumbaan di petak paling belakang, ketika mereka bergelut menyesuaikan diri dengan enjin baru dari Honda. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:03 AM