Manchester: Manchester United bakal memulakan aksi getir lima perlawanan yang bakal menentukan nasib mereka musim ini untuk bangkit daripada kekecewaan tersingkir dalam kempen Piala FA apabila mereka menentang Tottenham bagi aksi Liga Perdana hari ini.

Selepas pertemuan dengan Spurs di Old Trafford, skuad kendalian Louis van Gaal itu bakal berdepan Liverpool, Manchester City dan Chelsea dalam empat perlawanan berikutnya bagi merebut kelayakan ke Liga Juara-Juara menerusi slot empat pasukan terbaik.

Aston Villa salah satu lagi pasukan yang bakal ditentang United dalam tempoh itu namun van Gaal nyata resah dengan baki 10 perlawanan musim ini selepas United ditunjukkan jalan keluar dalam suku akhir Piala FA Isnin lalu.

“Betul apa yang anda katakan, perlawanan selepas ini sangat penting,” kata van Gaal.

“Sudah pasti selepas tewas di laman sendiri, ia penting untuk kami bangkit semula.

“Kami akan menentang Tottenham yang diakui pasukan yang bagus. Kedudukan kami rapat dengan kelab lain. Kami boleh menamatkan saingan di tangga kedua atau ketiga. Saya percaya jurang antara pasukan tidak jauh.

“Manchester United perlu menjadi salah satu pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara. Kami sudah menyaksikannya tahun ini dan pasti ia tidak bagus jika pasukan ini tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut.

“Namun kemungkinan itu tetap ada kerana anda tidak akan memenangi setiap perlawanan dan banyak kelab bersaing untuk mendapatkan tempat itu. Namun kami yakin untuk mencapai sasaran yang kami letakkan pada awal musim.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:03 AM