PERTARUNGAN di antara Ewan Omar dan Pet Mung Khun.
AKSI pertarungan di antara Mustaffar Noor dan Mostafa Ashouri.
LEBIH 6,000 peminat sukan muaythai tanah air menyaksikan kejohanan Kuda Merah International Muaythai Challenge 2015.
TENGKU Shariffuddin bersamapenyokong Kelab Kuda Merah Shah Alam selepas kejohanan Kuda Merah International Muaythai Challenge 2015.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Terbayang aksi lincah peninju muaythai yang mewakili Kelab Kuda Merah Shah Alam Selangor (KKMSAS), Amirul Ariffin, 30, bergasak dengan wakil Thailand, Pet Rung dalam kejohanan Kuda Merah International Muaythai Challenge 2015 di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seakan-akan terpapar babak yang sering disaksikan dalam filem terbitan negara ‘gajah putih’ itu membabitkan dua peninju saling melancarkan serangan ‘maut’ seperti hentakan lutut serta siku dalam kejohanan itu.

Buat peminat sukan muaythai hampir 6,000 yang memenuhi stadium selama dua hari berlangsung, aksi kedua-duanya jaguh itu tidak mengecewakan apabila bijak menguasai gelanggang dalam merebut gelaran Tali Pinggang Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah yang juga penaung KKMSAS.

Tali pinggang itu memperlihatkan perkenan Tengku Shariffuddin yang menunjukkan minat terhadap sukan berkenaan. Beliau turut muncul pada malam kemuncak untuk menyaksikan acara terbabit.

Kata Tengku Shariffuddin, sukan berkenaan berimpak tinggi dan bakal meraih perhatian anak muda selain mudah dikembangkan kerana ia penuh aksi. Namun mempunyai nilai estetik sendiri, sukan itu mampu menerapkan disiplin diri apabila setiap peninju tampak menghormati gelanggang.

“Bagi saya, sukan ini mampu berkembang pesat serta meraih populariti dalam kalangan orang muda untuk beriadah menggunakan saluran betul, Biarpun tampak agresif, saya lihat sukan ini memberi penekanan pada jati diri dan disiplin.

“Ia sesuatu yang baik selain mampu menarik golongan muda mengamalkan hidup sihat menerusi aktiviti ini berbanding memilih saluran ekstriem yang tidak memberi faedah.

“Saya menerima permintaan mereka untuk menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ KKMSAS menerusi perkenan nama saya sebagai gelaran kepada tali pinggang juara untuk kejohanan terbabit,” katanya.

Bagi pengerusi kelab, Rosli Razak yang turut berperanan sebagai jurulatih, dia sempat menerangkan hal penubuhan kelab berkenaan di samping penganjuran kejohanan terbabit untuk meluaskan legasi sukan itu seluruh Selangor untuk masa akan datang.

Katanya, biarpun berdepan kekangan, termasuk tidak mempunyai lokasi sesuai, dia optimis dan berharap pihak luar, terutama korporat, memberi sokongan kepada KKMSAS mahupun kejohanan muaythai dianjurkan mereka.

“Setakat ini kediaman saya dijadikan gimnasium sementara untuk ahli kelab berlatih. Saya selaku bekas jurulatih pasukan asal Kelab Tomoi Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasakan satu keperluan untuk mewujudkan kelab sama di Selangor kerana potensi sukan ini dapat menarik anak muda berbakat menjadi pelapis peninju muay­thai.

“Dalam sudut lain, saya mahu anak muda sekitar Selangor menjadikan sukan ini sebagai pilihan untuk membina disiplin baik dari segi rohani mahupun jasmani kerana ia lebih sihat berbanding kegiatan melepak mahupun membuang masa.

“Harapan saya besar dalam melihat kelab ini berkembang dengan penerimaan optimis orang ramai sekitar Selangor selain tajaan pihak tertentu untuk kelab kami,” katanya yang berharap sokongan kerajaan negeri dalam menawarkan lokasi sesuai untuk atlet berlatih.

Peninju mewakili KKMSAS, Amirul Ariffin menyifatkan kejohanan itu akan membuka mata lebih banyak pihak terhadap muaythai kerana anak muda tempatan mempunyai potensi dan kelas tersendiri dalam sukan terbabit.

“Dalam perlawanan itu, saya berjaya mengharungi tiga pusingan daripada lima pusingan dipertandingkan. Boleh dikatakan rezeki memihak saya apabila dalam pusingan ketiga, Pet Rung mengundurkan diri akibat kecederaan. Secara tidak langsung ini melayakkan saya mempertahankan tali pinggang dan bergelar juara kategori itu.

“Selain itu, reputasi Rosli antara jurulatih berpengalaman menyebabkan saya yakin dengan diri meskipun kalah dari segi pengalaman kerana Pet Rung sering menyertai pertandingan di Thailand. Ini satu kelebihan buat atlet KKMSAS kerana mereka diasuh untuk menang selain keselamatan diri,” katanya.

Selaku penaja utama, wakil GC MAX, Husna Hanafi melihat relevan menaja acara mahupun minuman kesihatan kerana sukan berkenaan mempunyai reputasi sendiri dalam kalangan peminat seni mempertahankan diri.

“Muay thai bukan sesuatu yang asing dan saya lihat sukan ini menerima penyertaan besar dalam kalangan anggota keselamatan atau peminat sukan.

“Menerusi penajaan ini, saya membantu mereka yang aktif bersukan kekal dengan stamina selain secara tidak langsung reputasi minuman ini mampu berkembang sebaris dengan minuman kesihatan yang sering diambil atlet,” katanya sambil mengalu-alukan orang ramai mengunjungi laman facebook GC Max Fat Burner.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:07 AM