rap

Percaturan OAB mengena

Oleh Ardini Sophia Sina

Kumpulan baru dianggotai empat anak muda yang menggelar diri mereka One Avenue Band (OAB) sama sekali tidak menyang­ka single pertama yang dipertaruhkan berjaya menduduki Carta 20 Muzik Muzik 33.

Menurut Reyhan, mereka sangat bersyukur dan gembira kerana percaturan untuk tampil dengan Kisah Antara Kita membuahkan hasil. Vokalis OAB itu turut meluahkan rasa terima kasih atas doa dan sokongan terhadap mereka.

Tidak hanya disenaraikan dalam Carta 20 Muzik-Muzik, video muzik rasmi lagu berkenaan turut mencatat lebih tiga juta tontonan di YouTube. Perkara itu turut membuatkan mereka terharu dengan penerimaan umum.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat kerana memberikan sokongan hingga video muzik Kisah Antara Kita mencatat lebih tiga juta tontonan dalam masa sebulan.

“Syukur berkat doa dan restu ibu bapa serta penyokong dapatlah kami merasai kemanisan apabila lagu ini disenaraikan dalam Carta 20 Muzik Muzik.

“Manalah tahu boleh rasa pula berada di pentas Anugerah Juara Lagu nanti. Apa pun, saya mohon doakan yang baik-baik dan harap terus menyo­kong OAB,” kata Reyhan selaku vokalis kumpulan itu.

Selain Reyhan, kumpulan OAB turut dianggotai Afiq selaku pemain bes, Ariff (gitar) dan Shana (vokalis dan perkusi). Mereka bermula sebagai pemuzik jalanan dan kemudian diterima dalam arus perdana.

Berjanji akan terus kekal sebagai sebuah kumpulan, mereka tidak menghalang mana-mana anggota untuk melakukan projek sendiri.

Kata Reyhan, mereka tidak punya hak untuk menyekat rezeki satu sama lain. Pun begitu, masing-masing sedia maklum kumpulan harus diberikan keutamaan.

“Katakanlah ketika itu ada pertindihan jadual antara komitmen sendiri dan kumpulan, kami sepakat untuk fokus pada OAB. Namun, jika ada projek sendiri, silakan.

“Kami tidak mahu menyekat rezeki masing-masing kerana walau apa jua yang dilakukan, kami bawa nama OAB.

“OAB adalah identiti dan nadi kami,” katanya.

Reyhan yang turut berbakat sebagai komposer dan penulis lirik mendedahkan ada beberapa individu menyarankan dia bergerak secara solo.

Bagaimanapun, persahabatan yang terjalin serta pahit manis yang dilalui bersama membuatkan dia selesa bergerak secara berkumpulan.

“Memang ada yang menasihati supaya tampil solo tetapi saya tidak bersetuju. Saya selesa begini dan rakan-rakan inilah yang banyak membantu memberikan ilham serta pandangan ketika menghasilkan lagu.

“Mereka selalu beri kata-kata semangat saya terus menghasilkan lagu lebih berkualiti untuk dipertaruhkan sebagai single kedua kami nanti,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 1:09pm
d