SEMUA wakil pelajar dari 16 buah sekolah yang mengambil bahagian bergambar kenangan bersama tetamu kehormat.
PESERTA mula membuat perancangan awal mengenai projek yang bakal dibuat.
Oleh Ruhaiza Rusmin


Penganjuran Program Toyota Eco Youth (TEY) kali ke-15 oleh Syarikat UMW Toyota Motor baru-baru ini menjadi platform syarikat korporat itu melaksanakan pelbagai kempen menyedarkan generasi muda kepentingan penjagaan alam sekitar.

Mendukung tema ‘Pengurusan Sisa Buangan’, TEY 2015 akan menjadi cabaran kepada 16 sekolah untuk menghasilkan idea serta konsep inovatif yang dapat dimanfaatkan untuk peringkat negara.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, program itu dapat menjadi pemacu untuk generasi muda menghasilkan pelbagai idea untuk menyelamatkan bumi daripada sisa buangan.

“Tema itu dipilih kerana sisa buangan kini menjadi masalah besar dan program ini mampu menjadi landasan mencambah idea lebih baik.

“Di UMW Toyota, kami percaya memberi perhatian terhadap alam sekitar adalah proses perlu dilakukan secara berterusan.

“Menerusi program TEY, hasil yang diberikan generasi muda ini mampu menyumbang ke arah pemeliharaan alam sekitar jangka panjang,” katanya.

Program TEY pertama kali dianjurkan pada 2001 sebagai peraduan peringkat sekolah yang menghendaki pelajar mengenal pasti dan menyelesaikan masalah alam sekitar di dalam pekarangan sekolah.

Pada 2011, program ini diperluas kepada kelompok masyarakat setempat.

Peserta turut dikehendaki menyediakan dokumentasi lengkap perkembangan projek melalui blog dan pembentangan ketika majlis penutup pada Oktober 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:03 AM