NUR Suraya perkenal empat pakej untuk mereka yang ingin tambah pendapatan melalui produknya.
NUR Suraya perkenal empat pakej untuk mereka yang ingin tambah pendapatan melalui produknya.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Lunaworks Sdn Bhd syarikat tempatan yang memberi tumpuan kepada penjualan produk ibu dan bayi menerusi jenama Lunatots memperkenalkan sistem ejen jualan bagi memberi peluang kepada individu yang mahu menambah pendapatan melalui penjualan produk The Milk Story (TMS).

Pengarah Urusannya, Siti Nur Suraya Mohamed Ali berkata, produk di bawah rangkaian TMS mula diperkenalkan sejak 2012 dan sehingga kini terdapat kira-kira 15 produk di bawah TMS.

“Produk yang dihasilkan kebanyakannya untuk keperluan ibu yang menyusukan bayi dan sesuai dengan nama yang diberi, ia bertujuan membantu ibu meneruskan penyusuan susu badan walaupun sudah kembali bekerja,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, pakej yang ditawarkan adalah untuk mereka yang berminat menjual secara dalam talian dan tidak semestinya untuk mereka yang mempunyai premis perniagaan.

“Peluang perniagaan ini dibuka untuk semua yang berminat dan tidak hanya eksklusif untuk mereka yang mempunyai ruang niaga fizikal.

“Ia bertujuan membantu lebih ramai individu menambah pendapatan sampingan dan dalam masa sama menggalakkan budaya penyusuan susu ibu,” katanya.

Untuk menjadi ejen jualan, pihak Lunatots menawarkan empat pakej berbeza dengan modal serendah RM500 dengan margin keuntungan sekitar 20 peratus.

“Setiap pakej memberikan ejen kadar keuntungan jualan antara 20 peratus hingga 50 peratus. Malah, ejen juga boleh mencampur produk yang diinginkankerana setiap produk mempunyai kadar jualan berbeza bergantung kepada lokasi dan permintaan pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:12 AM