AFP

Melbourne

Lewis Hamilton (gambar) mengatasi rakan sepasukan Nico Rosberg untuk membolehkan Mercedes mendominasi kemenangan pada perlumbaan pembuka tirai di Grand Prix Australia yang menyaksikan beberapa pelumba menarik diri.

Juara dunia Hamilton mengetuai perlumbaan sejak awal dan dia menewaskan pemenang tahun lalu, Rosberg dengan kelebihan 1.3 saat diikuti Sebastien Vettel di tempat ketiga bersama jentera Ferrari.

Hanya 11 jentera yang menamatkan perlumbaan selepas masalah mekanikal dan kecederaan yang menimpa Valtteri Bottas mengakibatkan hanya 15 jentera berbaris di garisan permulaan - jumlah paling rendah pada perlumbaan pembuka musim sejak 1963.

Cubaan Max Verstappen yang sudah pun memecahkan rekod penampilan pada usia 17 tahun 166 hari pula berakhir dengan kekecewaan apabila jentera Toro Rosso yang dikendalikannya mengalami kegagalan unit kuasa di pusingan ke-34.

Di barisan depan, Mercedes jelas sukar ditandingi apabila Hamilton menamatkan perlumbaan 34 saat lebih pantas berbanding Vettel sekali gus membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi pesaing Silver Arrows.

Ia adalah kemenangan kelapan berturut-turut Mercedes yang bermula sejak di Belgium Ogos tahun lalu dan perlumbaan ke-20 berturut-turut dengan sekurang-kurangnya satu wakil mereka berada di podium.

Hamilton, 30, memenangi tujuh daripada lapan perlumbaan terakhir dan yang ke-34 daripada 149 grand prix, walaupun ia adalah yang pertama buatnya di Australia sejak 2008.

“Nico memang pantas,” katanya mengenai pesaingnya itu. “Daripada segi tayar, kami tidak tahu sejauh mana ia mampu bertahan. Apabila Nico memberi saingan, saya berjaya bertindak balas dengan baik.”

Rosberg yang terpaksa berpuashati dengan kedudukan di tangga kedua, berkata menamatkan saingan di kedudukan itu boleh dianggap sebagai sesuatu yang cukup baik.

“Lewis menjalankan tugasnya dengan sempurna, dia memandu selaras dengan status selaku juara dunia sepanjang minggu ini. Saya sudah cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, juara dunia empat kali, Vettel melaungkan perkataan “Forza Ferrari!” ketika melintasi garisan penamat dan ia dianggap sebagai kemenangan bermakna selepas berpindah dari Red Bull.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:22 AM