Indian Wells: Bekas juara Roger Federer dan Rafael Nadal menang pada perlawanan pembukaan kejohanan tenis Indian Wells manakala Serena Williams pula mencatat kejayaan serupa kelmarin.

Pilihan kedua, Federer memulakan cubaannya untuk merangkul gelaran Indian Wells buat kali kelima dengan menewaskan pemain Argentina Diego Schwartzman 6-4, 6-2. Nadal turut membuka kempen dengan kejayaan apabila mengatasi Igor Sijsling 6-4, 6-2 di kejohanan gabungan WTA dan ATP berkenaan.

Federer yang tampil buat kali ke-15 di gurun California itu menempah tiket ke pusingan ketiga dan bakal bertemu lawan dari Itali Andreas Seppi yang pernah mengalahkannya awal tahun ini di Terbuka Australia.

“Penting untuk memulakan kejohanan dengan baik. Saya perlu mengekalkan tumpuan dan cuba bermain agresif walaupun bukan mudah,” kata Federer.

“Cuaca agak berangin dan saya perlu berhati-hati untuk mencatat kemenangan.”

Federer menduduki ranking kedua dunia dan dia berpeluang melonjak ke tangga teratas jika mampu menang di Indian Wells.

Federer berkata, dia tidak sabar untuk mencatat keputusan positif ketika menentang Seppi yang menewaskannya dalam empat set di Terbuka Australia, Januari lalu.

“Perlawanan yang sukar. Ketika itu saya memang kerana tewas,” kata Federer.

Sementara itu, pilihan utama, Serena menandakan kemunculan semula selepas 14 tahun di Indian Wells dengan kemenangan di pusingan keempat ke atas Zarina Diyas.

Serena yang juga pemain nombor satu dunia, hanya memerlukan 53 minit untuk mengatasi Zarina di hadapan 10,500 penonton.

“Setakat ini permainan saya berada di landasan tepat,” kata Serena. “Saya mampu bermain lebih
konsisten hari ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:17 AM