Oleh Azma Razana Johari


Georgetown: Pelumba Ciclista North Fan Club (CNFC) tidak sabar menguji laluan merentasi dua negeri pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Kompleks Sukan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, esok.

Pengurus CNFC Sheikh Shukor Elley Asghar Elley berkata, mereka menghantar 15 pelumba walaupun penampilan mereka hanya sekadar berseronok serta memburu kepuasan peribadi.

“Kami diberitahu trek bakal digunakan nanti antara terbaik serta serba lengkap.

“Kami bukan mencari kemenangan, tapi hanya mahu menguji kemampuan diri sendiri dan berseronok, sekali gus memeriahkan kejohanan,” katanya.

Menurutnya, Ciclista adalah pembekal jersi sukan terutama berbasikal dan kejohanan seperti ini membolehkan CNFC mempromosikan produk mereka.

“Kami sentiasa memberi sokongan kepada sukan berbasikal seperti Harian Metro MTB ini kerana ia memberi peluang mempromosi produk kami.

“Sebagai persiapan, kami membuat latihan setiap hujung minggu dengan berkayuh 10 kilometer (km),” katanya.

Kejohanan Harian Metro MTB 2014 bermula dengan perlumbaan di Kuala Kangsar, Perak pada 23 dan 24 Ogos lalu diikuti Sirkit 2 di Temerloh, Pahang pada 26 dan 27 September lalu.

Sirkit 3 di Kompleks Sukan Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal akan dimulakan dengan pendaftaran peserta mulai jam 3 petang hingga 10 malam ini, diikuti perlumbaan pada jam 8 pagi keesokannya.

Yang menarik, perlumbaan kali ini membabitkan laluan di dua negeri Pulau Pinang dan Kedah dengan pelumba bagi Metro Open (Jamboree) perlu menamatkan kayuhan sejauh 42 kilometer (km) manakala XC Metro Race 47km.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:04 AM