Kuala Lumpur: Sikap membisu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai isu doping Datuk Lee Chong Wei mendapat pujian bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Elyas Omar (gambar).

Menurutnya, BAM harus mengekalkan pendekatan berdiam diri berhubung kontroversi melanda Chong Wei selepas ujian air kencingnya didapati positif ketika beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

“Saya harap BAM tidak terlalu tergesa-gesa buat kenyataan mengenai siapa pemain itu. Tidak kira pemain itu Chong Wei atau mana-mana pemain, ia tidak adil kerana kebenaran masih belum terjawab,” katanya.

Biarpun BAM enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan, timbul spekulasi mendakwa pemain itu jaguh nombor satu dunia, Chong Wei.

“Terlalu awal untuk kita menuduh mana-mana pemain. Kita belum ketahui sejauh mana kesahihan mengenai bahan larangan sama ada pemain itu mengambil secara suntikan, makanan tambahan atau sebagainya

“Jika benar, ia adalah pengajaran paling besar dalam sukan badminton negara kerana membabitkan ikon negara kita. Ini satu perkara yang serius,” katanya.

Elyas berkata, ia satu perbuatan tidak adil kepada mana-mana pemain termasuk Chong Wei selagi keputusan Sampel B belum dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

“Sesiapa saja jangan cepat membuat spekulasi negatif dan semua individu termasuk peminat perlu bersabar sebelum kebenaran terjawab.

“Lebih baik kita tunggu keputusan Sampel B. Saya tidak tahu siapa pemain itu, tapi saya harap kontroversi ini bakal berakhir dengan baik,” katanya.

Hingga semalam, BAM enggan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai situasi itu hingga keputusan Sampel B diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:05 AM