KEK keju biskut coklat
1. BAHAN-BAHAN diperlukan.
2. PUKUL krim keju, gula dan esen vanila dengan kelajuan sederhana hingga benar-benar sebati. Masukkan krim masam atau yogurt dan pukul lagi hingga sebati. Masukkan telur satu persatu.
3. KEMUDIAN masukkan biskut coklat yang dicincang halus, kaup dan balikkan hingga rata.
4. BAKAR secara stim dengan suhu 170 darjah Celsius (letak loyang adunan dalam loyang lain yang berisi air) selama 45 minit atau hingga bahagian tengah benar-benar masak.
5. TUTUP permukaan kek keju dengan pembalut aluminium untuk mengelakkan permukaan terlebih kuning. Letak pada rak bawah sekali dalam ketuhar.
6. SEJUKKAN sekurang-kurangnya selama empat jam atau satu malam. Hiaskan dengan kepingan biskut coklat atau jem kegemaran dan buah-buahan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Membuat kek tidaklah sesukar yang disangka malah ada sesetengah kek amat mudah disediakan dengan bahan yang senang diperoleh.

Harga sesetengah jenis kek contohnya kek keju memang agak mahal, apatah lagi jika ia dijual oleh kedai kek terkenal. Ini membuatkan sesetengah penggemar berfikir beberapa kali sebelum membelinya khususnya pada saat saku ‘sedang tenat’.

Hakikatnya, kek keju amat mudah dibuat sendiri dan tentunya anda boleh berjimat berkali ganda kerana bahan yang dibeli seperti keju kadangkala boleh digunakan untuk membuat dua atau lebih adunan.

Bagi blogger yang tidak lokek berkongsi pelbagai resipi di blognya, Ana Suzana, kek keju biskut coklat amat mudah disediakan dan apa yang lebih penting, ia tidak memerlukan banyak bahan.

Katanya, bahan utama yang digunakan adalah biskut coklat dan krim keju serta beberapa bahan lain yang mudah didapati.

Teknik yang digunakan untuk membakar juga agak berbeza iaitu secara ‘water bath’ atau bakar stim.

“Saya tidak rendam loyang itu, tapi di bawah loyang saya letakkan air panas. Jika merendam, pastikan keliling loyang dibalut dengan pembalut aluminium dengan kemas. Elakkan air masuk ke dalam loyang dan paling penting air yang dituang mestilah panas.

“Apabila kek sudah siap dibakar, jangan keluarkan terus sebaliknya biarkan ia dalam ketuhar dan renggangkan sedikit pintu ketuhar. Biarkan selama lebih kurang setengah jam sebelum kek dikeluarkan. Ini petua untuk mengelakkan kek itu mengecut atau mendap secara tiba-tiba. Kek yang sudah sejuk akan merenggang dengan sendiri daripada loyang,” katanya.

Selain itu, Ana juga boleh membuat pelbagai kek dan juga pemanis mulut enak dan dikongsi bersama pembaca blognya, mylovelyfamily-ana.blogspot.com. Untuk pembaca Harian Metro, Ana menunjukkan cara menyediakan kek keju biskut coklat yang mudah dan enak.

BAHAN

- 30 keping biskut coklat (buang krim tengahnya), kisar halus

- 1/4 cawan mentega, dicairkan

Bahan kek

- 2 cawan krim keju

- 1/2 cawan gula halus

- 1/2 sudu teh esen vanila

- 1/2 cawan krim masam atau yogurt asli

- 2 biji telur

- 1 cawan biskut coklat, dicincang halus

Cara menyediakan

- Untuk dasar: Gaulkan biskut coklat kisar dengan mentega cair hingga rata. Tekan dalam loyang yang telah disapu mentega dan dialas. Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:12 AM