Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: “Kualiti pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sangat berbeza berbanding dulu dan sekarang.” Itulah yang diluahkan pemain badminton profesional, Mohd Arif Latif (gambar).

Arif yang juga bekas pelajar SSBJ, mengakui kualiti pelajar sekolah berkenaan semasa zamannya dan beberapa tahun sebelum itu sangat berbeza terutama apabila membabitkan atlet badminton.

“Ketika zaman saya dan juga sebelum itu, mereka (pelajar SSBJ) berjaya mencatat keputusan cemerlang di Kejohanan Remaja Dunia dan Kejohanan Remaja Asia,” katanya.

Jelasnya, standard pelajar SSBJ sudah tidak sama seperti dulu apabila sering gagal mencatat keputusan cemerlang di dua kejohanan berkenaan.

“Sekarang ini kalau pemain negara dari SSBJ yang berada di dua kejohanan berkenaan, mereka hanya mampu beraksi hingga di suku akhir saja.

“Kalau dulu, wakil dari Malaysia yang rata-ratanya pelajar SSBJ pasti mara ke akhir untuk dua atau tiga acara,” katanya yang pernah muncul naib juara Kejohanan Remaja Asia 2008.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, hanya sebahagian saja bekas pelajar menjadi atlet cemerlang di peringkat antarabangsa dan sebagai contoh, dia menyebut nama Pandelela Rinong dalam acara terjun.

“Bagi saya setiap negeri perlu ada sekurang-kurangnya satu sekolah sukan, dari situ kita nampak perkembangan dan membuka ruang buat mereka yang berada di pedalaman.

“Buat satu pertandingan dan barulah serap mereka yang berjaya ke SSBJ. Selepas itu perlu ada satu tempat untuk mereka menyambung pelajaran contohnya universiti sukan,” katanya.

Katanya, Malaysia sepatutnya membina sekurang-kurangnya satu universiti sukan untuk membuka ruang kepada atlet menyambung pelajaran di peringkat tinggi.

“Atlet yang masih belajar dan dalam masa yang sama masih aktif mewakili negara boleh menyambung pelajaran di universiti berkenaan yang sekarang ini dilakukan di Korea Selatan dan China.

“Saya juga merasakan pelajar yang gagal di SSBJ terutama dari segi pelajaran adalah disebabkan salah sistem itu sendiri. Setiap pelajar harus memilih sama ada mahu menumpukan perhatian pada pelajaran atau sukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:29 AM