Kuala Lumpur: Industri kewangan dan perbankan Malaysia menyaksikan peningkatan gaji tertinggi dalam tempoh 12 tahun antara 10 hingga 25 peratus berdasarkan garis panduan Malaysia Salary Guide 2014/2015.

Pengarah Urusan Kelly Services (M) Sdn Bhd, Kamal Karanth berkata, kenaikan gaji itu disebabkan pertumbuhan sektor kemahiran khusus (seperti perbankan dan kewangan Islam) dan dasar positif pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan.

“Ia memacu permintaan bagi tenaga kerja yang ada serta kemahiran,” katanya selepas pelancaran garis panduan gaji itu di sini, semalam.

Hasil kaji selidik itu menunjukkan pekerjaan yang menjadi tumpuan dalam sektor perkhidmatan kewangan meningkat kepada 20, di mana tujuh adalah peranan baru berbanding enam pada 2013/14.

“Peranan ini termasuklah jawatan seperti ketua syariah bagi kewangan Islam, pengurus pengurusan risiko, ketua risiko kredit, pengurus risikan perniagaan dan pelatih pengurusan,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan bank sudah mempunyai permintaan kepakaran dalam bidang berkenaan tetapi bilangannya masih rendah.

“Itulah sebabnya mengapa gaji bagi jawatan ini dinaikkan kerana hanya ada beberapa pakar dalam bidang ini,” katanya.

Hasil kaji selidik itu juga mendedahkan sektor kewangan adalah satu daripada yang terbesar di Malaysia dengan lebih 300,000 pekerja.

Ia menyumbang sehingga 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:06 AM