POLIS memeriksa lokasi kejadian.
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Seorang penuntut Politeknik Nilai meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat empat asrama lelaki di institut pengajian tinggi itujam 9.45 malam tadi.

Mangsa, R Ramaneswaran, 19, meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), untuk rawatan akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, siasatan polis mendapati sebelum kejadian, mangsa yang menghuni bilik di tingkat dua bangunan itu naik ke tingkat empat menemui rakannya.

Katanya, disebabkan rakannya tiada di bilik, mangsa dikatakan duduk di atas tembok sambil bersandar di dinding dengan sebelah kaki di luar bangunan.

"Ada saksi melihat ketika itu mangsa sedang bercakap telefon dan tiba-tiba tidak dapat mengawal imbangan badannya dan terjatuh dari ketinggian 12 meter.

"Akibat kejadian, mangsa mengalami cedera di kepala, patah tulang rusuk dan disahkan mati ketika dalam perjalanan ke HTJ," katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, kematian mangsa tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 3:15 PM