KHAIRY (kiri) menyampaikan trofi kepada wakil Nicol, Sharon Wee di Hotel PJ Hilton.
NICOL ketika memenangi juara dunia di Kaherah.
 Oleh Aida Adilah Mat dan Ferzalfie Fauzi


Petaling Jaya

Sejarah yang dilakarkan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David membolehkan atlet kelahiran Pulau Pinang itu dinobatkan pemenang Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2014 buat kali kedua. 

Nicol melakarkan kejayaan terbesar dalam kariernya apabila mencipta rekod baru sebagai pemain nombor satu dunia selama 106 bulan dalam Senarai Persatuan Skuasy Wanita (WSA).

Pemain berusia 32 tahun itu menewaskan empat calon lain yang disenarai pendek - juara Mr Universe 10 kali, Sazali Abd Samad, pemenang Kejuaraan Motosikal Kelas Supersports 600cc Mohd Zaqhwan Zaidi, pemenang emas angkat berat Sukan Komanwel Mohd Hafifi Mansor dan pemegang emas kata lelaki Sukan Asia Incheon dalam acara karate Lim Chee Wei.

Kali pertama Nicol yang meraih dua emas Sukan Asia Incheon, satu emas Sukan Komanwel Glasgow selain muncul juara Kejohanan Dunia, Terbuka British dan Terbuka Hong Kong itu pada tahun lalu memenangi Anugerah Atlet Terbaik, adalah pada 2005.  

Kemenangan itu membolehkan Nicol membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan kamera.

Pelumba go-kart negara Muizzuddin Musyaffa Abdul Ghafar pula menerima anugerah Atlet Remaja Terbaik.

Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dipilih Persatuan Sukan Dinamik kerana tidak pernah menghampakan dalam setiap temasya sukan disertai selain sentiasa melahirkan bakat baru untuk diketengahkan.

Pasukan skuasy wanita yang diwakili Nicol, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan pula meraih Anugerah Khas SAM-100 PLUS 2014 selepas kali pertama melangkah ke final Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia tahun lepas.

Muhammad Rizal Hashim daripada Astro Digital Publication pula meraih anugerah Utama Kewartawanan Sukan menerusi artikel ‘Skuad Aristokrat: Pahang Lengkapi Musim Gemilang’ yang turut memenangi kategori laporan khas terbaik media cetak dan elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:19 AM