SISTEM simulator BAE Eurofighter Typhoon yang dipaparkan di LIMA’15.
Oleh Badrila Jamlus

Langkawi: BAE Systems komited untuk terus melabur di negara ini dan menawarkan faedah jangka panjang yang mampan melalui perkongsian tempatan termasuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi.

Syarikat itu yang sudah bertapak di Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu itu bukan sahaja sudah melahirkan lebih 200 pekerja mahir baru, malah akan mewujudkan tambahan 150 pekerjaan pada tahun ini.

Pengarah Kumpulan Pembangunan Perniagaan BAE Systems, Alan Garwood berkata bagi membuktikan komitmen jangka panjang, syarikat sudah menubuhkan satu-satunya Pusat Penyampaian Global Keselamatan Siber di rantau Asia yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, keputusan membuka pusat siber itu dibuat selepas melakukan kajian mendalam sejak tiga hingga empat tahun lalu dan melihat permintaan terhadap keselamatan siber meningkat selari dengan perkembangan pesat sektor teknologi maklumat.

“Ketika ini kebanyakan pelanggan kami di Malaysia dan rantau ini terdiri daripada agensi kerajaan, sektor perbankan serta insurans yang memerlukan penyelesaian keselamatan kritikal dalam memastikan keselamatan data pelanggan,” katanya ketika ditemui di LIMA’15 di sini, semalam.

Ditanya mengenai pakej pembiayaan yang ditawarkan BAE Systems bagi pesawat Eurofighter Typhoon kepada kerajaan Malaysia, Garwood berkata, pihaknya bersedia menawarkan pakej menarik meliputi pembiayaan bank mengikut kesesuaian dan keperluan kerajaan dengan mendapat jaminan daripada kerajaan United Kingdom.

Katanya, ketika ini pesawat tempur itu sudah digunakan oleh tujuh negara dengan jumlah penghantaran setakat ini sebanyak 500 unit daripada 700 unit tempahan.

Sementara itu, Pengarah Urusan BAE Systems Asia Tenggara, John Brosnan berkata, sempena LIMA’15 kali ini, syarikat turut memeterai perjanjian dengan SME Aerospace (SMEA) Sdn Bhd, pengeluar komponen aeroangkasa berasaskan logam di Malaysia untuk pengeluaran pilon tambahan jet latihan lanjutan Hawk.

Beliau berkata, pilon berkenaan, yang termasuk 16 kelengkapan dalam kapal dan 16 kelengkapan luar kapal, dikeluarkan untuk pelanggan eksport utama BAE Systems.

“SMEA mempunyai rekod cemerlang dalam pengeluaran pilon untuk pesawat Hawk dan eksport berterusan komponen utama oleh syarikat Malaysia kerana SMEA telah mengeluarkan lebih 600 pilon Hawk untuk BAE Systems sejak 1992,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:13 AM