Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Minatnya dalam dunia penulisan diwarisi daripada bapanya yang gemar menghasilkan sajak. Dalam keluarga, hanya dia seorang yang mengikut jejak langkah itu hingga berjaya menerbitkan beberapa novel yang diminati ramai.

Sejak zaman persekolahan lagi Nurul Liyana Abd Rahim, 27, sudah mula menulis dan menghasilkan cerpen serta sajak sebelum dihantar ke akhbar untuk diterbitkan.

Minatnya dalam dunia penulisan sangat mendalam hinggakan dia tidak mahu berhenti menulis sebelum menghasilkan novel sendiri ketika usianya menjengah 14 tahun.

“Pada 2010, manuskrip novel yang saya tulis sejak zaman persekolahan itu dihantar ke syarikat penerbitan untuk mencuba nasib. Siapa tahu jika manuskrip saya diterima dan diterbitkan.

“Selepas tiga bulan, manuskrip saya diterima dan lahirlah novel pertama saya, Rindu Tercipta. Ketika itu, saya masih menyambung pengajian dalam jurusan Sains Politik di tahun tiga Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” katanya.

Hati mana yang tidak melonjak keriangan apabila hasil karya yang ditulis sejak zaman persekolahan itu berjaya diterbitkan dan menjengah pasaran.

Perasaan teruja terus menguasai diri dan Nurul Liyana nekad untuk menghasilkan novel kedua selepas itu. Namun, ketika itu dunia penulisan masih belum popular dan tidak ramai penulis muda tampil dengan buah fikiran mereka seperti hari ini.

Selepas 2011, kehadiran penulis novel semakin ramai dan dia perlu bijak mencari ilham kreatif supaya karyanya tidak sama dengan novel orang lain.

Baginya, cerita cinta yang klise dengan novel lain memang perlu ada, namun dia perlu bijak mengubah penceritaan supaya penulisan yang dihasilkan lebih menarik dan segar untuk dibaca.

Pada masa sama, gaya penulisan yang ditonjolkan lebih santai, menggunakan bahasa yang ringan dan mudah difahami kerana dia memberi fokus kepada pembaca remaja.

Memang tidak dinafikan pada mulanya ibu bapa Nurul Liyana kurang yakin dengan kerjaya yang diminati anak sulung daripada enam beradik ini.

Ini disebabkan pelbagai cabaran yang dihadapi ketika novel pertama diterbitkan banyak menguji Nurul Liyana. Agak sukar baginya memberi keyakinan kepada pembaca untuk memilih novelnya, apatah lagi ketika itu namanya masih baru dan belum dikenali ramai.

Namun, dia berjaya membuktikan kebolehan dan kreativitinya apabila namanya mula meniti di bibir peminat novel selepas novel Rindu Awak 200% diadaptasi menjadi drama popular.

Ya, Nurul Liyana boleh tersenyum riang melihat catatan jualan novel keempatnya yang mencecah 80,000 cetakan dalam masa tujuh bulan selepas drama berkenaan disiarkan di kaca televisyen.

Kajian dan fakta

Menariknya, Nurul Liyana turut tidak terlepas daripada membuat kajian dan pembacaan terlebih dulu untuk memastikan maklumat yang ingin dimasukkan ke dalam penulisannya tepat dan bersesuaian.

Biasanya, dia mengambil masa empat hingga lima bulan untuk memastikan maklumat yang ingin digunakan mencukupi dan tepat.

Misalnya, novel Rindu Awak 200% yang diadaptasi menjadi drama popular lakonan Ayda Jebat dan Zul Ariffin.

“Saya tidak menduga novel berkenaan akan diadaptasi menjadi drama dan tidak meletakkan harapan yang tinggi ia mampu menjadi drama popular seperti sekarang.

“Novel berkenaan menceritakan mengenai dunia juruterbang dan saya perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai kerjaya berkenaan.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai rakan yang bekerja sebagai juruterbang yang banyak berkongsi pengalamannya. Selain itu, saya juga banyak membaca untuk menambah pengetahuan mengenai kerjaya berkenaan bagi menjadikan karya lebih menarik,” katanya.

Nurul Liyana juga menyisipkan fakta mengenai penyakit yang jarang diperkatakan dalam masyarakat dalam setiap novelnya. Dia mahu menjadikan bidang itu sebagai salah satu cara untuk memberi kesedaran dan mendidik pembaca mengenai jenis penyakit yang jarang didengar oleh masyarakat agar mereka lebih prihatin.

Di sebalik kerjayanya sebagai penulis, dia juga minat membaca novel karya Anis Ayuni dan menjadikannya sebagai idola dalam dunia penulisan.

Garapan idea segar

“Saya jarang membuat draf terlebih dulu sebelum menulis kerana saya lebih suka menggunakan idea segar dalam setiap penulisan yang dihasilkan.

“Jika memerlukan sebarang maklumat atau fakta, saya akan terus mencarinya secara spontan apabila mempunyai sebarang idea tambahan untuk menjadikan karya lebih menarik dan lengkap,” katanya.

Dalam sesi temu ramah bersama Nurul Liyana itu, dia menjelaskan lebih gemar mencari idea dengan keluar beriadah untuk memerhati gelagat orang ramai, menonton televisyen atau mendengar dialog orang sekeliling.

Aktiviti yang dilakukan di luar rumah boleh memberi idea yang menarik agar penceritaan di dalam karyanya tidak melampaui batas dan sentiasa mengikut pusingan kehidupan normal.

Dia lebih suka menggunakan dialog ringkas dalam setiap watak yang ditampilkan selain perlu belajar dan memahirkan diri mengaitkan setiap watak yang ada dalam karyanya.

Kebuntuan idea? Itu masalah biasa bagi penulis, termasuklah Nurul Liyana.

“Memang ia masalah biasa, kadang-kadang sehari suntuk berfikir, tiada ilham yang muncul. Namun, kita harus bijak menghadapi situasi berkenaan dan mencari masa sesuai untuk menulis agar manuskrip dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Satu perkara yang saya tidak boleh tahan ketika menulis ialah bunyi bising kerana ia boleh menjejaskan tumpuan. Saya suka membayangkan watak yang ingin ditulis sebelum ia dimasukkan ke dalam plot cerita. Jadi gangguan persekitaran ini akan menghilangkan mood untuk menulis,” katanya.

Ujarnya, di sebalik sibuk dengan kerjayanya sebagai penulis novel sepenuh masa, dia juga mempunyai hobi tersendiri untuk mengatasi rasa tekanan.

Nurul Liyana mengisi masa lapangnya di dapur mengasah kemahiran memasak dan menjadikan ia sebagai terapi apabila dirinya menghadapi masalah dalam menghasilkan karya.

Baginya, memasak memberi kepuasan, apatah lagi jika resipi yang dicuba menjadi dan mendapat pujian keluarganya.

Kini, dia bergelut menghasilkan manuskrip untuk novel terbaru tahun ini sebagai buah tangan kepada peminatnya yang sentiasa menyokong untuk dia terus berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:42 AM