VAN Gaal ingin habiskan masa bersama keluarga selepas kontrak bersama United tamat.
VAN Gaal ingin habiskan masa bersama keluarga selepas kontrak bersama United tamat.
AFP

London: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mendedahkan beliau berhasrat untuk bersara apabila tugasannya di Old Trafford berakhir.

Van Gaal mempunyai kontrak bersama United hingga 2017 dan beliau akan meninggalkan sukan itu dengan penuh kejayaan selepas kontraknya tamat.

Pengendali berusia 63 tahun bekas jurulatih Barcelona, Bayern Munich dan Belanda itu menikmati saat-saatnya di United, namun berminat menamatkan karier pengurusan gemilang sebaik kontraknya berakhir kerana beliau mahu menghabiskan masa bersama isteri Truus di rumah percutian mereka di Algarve.

“Saya sudah tua. Ini tugasan terakhir saya. Sudah pasti,” kata Van Gaal.

“Saya perlu memberi tumpuan kepada anak-anak, cucu dan juga isteri saya. Mereka berhak mendapatnya.

“Kini, saya tidak dapat memberikan tumpuan itu. Sebagai contoh saya gagal menghadiri majlis ulang tahun cucu lelaki saya. Sesuatu yang saya tidak sukai.

“Isteri saya mahu saya bersara sekarang! Lima tahun lalu!

“Saya mempunyai ‘syurga’ di Portugal. Saya mahu bersara dan menetap di sana, bermain golf, menikmati makanan enak.”

United beberapa kali beraksi hambar musim ini, namun mereka membenam Tottenham 3-0 hujung minggu lalu bagi mengekalkan kedudukan tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Mereka berkunjung ke Anfield menentang musuh tradisi Liverpool pada perlawanan tumpuan utama, malam esok.

Sekalipun beliau menguruskan kelab gergasi Eropah seperti Barcelona dan Bayern sepanjang kariernya, beliau menganggap United sebagai kelab teragung di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:09 AM