ANTARA rekaan jubah terbaru daripada Bella Luna.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Menampilkan orkid sebagai motif flora dalam rekaan jubahnya, koleksi fesyen terbaru daripada Bella Luna pasti membuatkan ramai wanita terpikat untuk menggayakannya.

Pengasas Bella Luna Datin Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin berkata, ilham menampilkan orkid dalam rekaan terbarunya tercetus bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.

“Pada pandangan saya, orkid sejenis bunga yang sangat eksklusif dari segi warna dan bentuknya. Lebih menarik, setiap corak orkid yang ditampilkan direka dan dicetak secara eksklusif oleh Bella Luna,” katanya.

Memilih fabrik daripada jenis satin dull dan kapas, koleksi berkenaan selesa dipakai dalam cuaca di negara ini memandangkan sifatnya yang tidak panas, lembut dan menyerap peluh.

Memudahkan wanita bergaya dan menggabungkan antara pakaian yang ada, koleksi Bella Luna kali ini menggunakan warna lembut dan semula jadi selain sedikit cetusan warna terang.

Potongan jubah kembang di samping panel berwarna hitam di bahagian sisi jubah yang ditampilkan dalam koleksi terbaru itu mampu membuatkan wanita kelihatan lebih langsing.

Kelainan jubah Bella Luna juga terserlah melalui koleksi jubah Kiska yang menampilkan corak geometri yang segar.

Selain jubah, ia turut memperkenalkan koleksi pakaian kasual daripada kain satin dan long­gar, sesuai digayakan semua golongan termasuk mereka yang bertudung, selain selendang sedia dipakai yang hanya perlu disematkan pin mengikut cita rasa masing-masing.

Sesuai dengan selera wanita masa kini, koleksi yang boleh didapati pada harga berpatutan itu datang dalam saiz S hingga L.

Siti Nur Syafiqa berkata, seiring dengan perkembangan fesyen yang pantas, Bella Luna sentiasa melahirkan rekaan terkini dengan menawarkan pilihan koleksi terbaru kepada peminat fesyen setiap dua minggu.

“Kami juga mendapat permintaan untuk menghasilkan saiz yang lebih besar iaitu XL, jadi ia akan diberi perhatian bagi keluaran akan datang,” katanya.

Bagi koleksi pakaian raya akan datang, menurut Siti Nur Syafiqa, Bella Luna akan memperkenalkan rekaan corak yang dicetak secara eksklusif.

Sempena pembukaan rasmi butik Bella Luna di 49A , Jalan Plumbum P7/P , Seksyen 7, Shah Alam esok, pelanggan juga berpeluang membeli semua koleksi terbaru pada harga diskaun sehingga 50 peratus dan beg hadiah akan diberikan kepada kumpulan pelanggan terawal.

Selain di Shah Alam, koleksi terbaru Bella Luna juga boleh di Modvier, Bangsar atau melalui laman instagram.com/bellaluna_design/.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 1:32 PM