BANGKAI babi hutan jantan yang menyerang mangsa Rokiah di rumahnya di Pondok Kepala Bukit, Bukit Pinang. FOTO ihsan JPAM
Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Wanita warga emas cedera selepas diserang babi hutan jantan dianggarkan seberat 70 kilogram dipercayai tersesat masuk ke rumahnya, di Pondok Kepala Bukit, Bukit Pinang, di sini, 8.30 pagi, hari ini.

Kejadian itu mengakibatkan Rokiah Ahmad, 85, cedera di lengan kanan akibat terkena taring haiwan berkenaan dan menerima beberapa jahitan.

Anak mangsa, Ahmad Daud Abdullah, 37,berkata, ketika kejadian hanya dia, isteri, Nor Shohiba Ibrahim, 28, dan ibunya berada di rumah.

"Ketika kejadian, saya sedang mandi dan isteri pula memasak di dapur. Ibu pula sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Bagaimanapun, tiba-tiba saya mendengar bunyi bising dari arah ruang tamu dan segera keluar untuk memeriksa keadaan, namun terkejut sebaik melihat babi hutan sedang berlari tidak tentu arah dalam rumah kami," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Ahmad Daud berkata, bimbang sesuatu buruk berlaku dia segera mendapatkan ibunya yang berada di ruang tamu, manakala isterinya sempat melarikan diri.

“Melihat kelibat saya, babi hutan itu terus mengejar saya hingga ke ruang tamu sebelum menyerang ibu menyebabkan lengan kanannya cedera.

"Pada masa sama juga saya dan ibu berjaya keluar rumah melalui pintu depan sebelum meminta bantuan penduduk kampung dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar Kapten Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada, 8.59 pagi.

Menurutnya, satu pasukan dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menangkap haiwan berkenaan.

"Sebaik tiba pihak kami mendapati haiwan itu sedang bertindak agresif selain turut merosakkan peralatan rumah seperti perabot, kabinet dan tingkap di dalam rumah mangsa.

"Operasi menangkap babi hutan berkenaan mengambil hampir tiga jam menggunakan jaring sebelum haiwan itu mati tidak lama kemudian akibat parah dipercayai terkena serpihan kaca," katanya.

Katanya, pihaknya percaya babi hutan itu datang dari kawasan hutan Bukit Pinang yang terletak berhampiran dan tersesat sebelum memasuki rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:28 PM