Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

 

Kota Bharu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dapat diumumkan pada 9.30 malam.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pengumuman akan dibuat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengakalan Chepa, di sini.

Beliau juga memberitahu setakat 12 tengah hari, 7,915 atau 38.82 peratus pengundi sudah melaksanakan tanggungjawab mereka, sekali gus petanda baik untuk mencapai sasaran 70 peratus keluar mengundi.

"Walaupun Barisan Nasional tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN itu, pengundi tetap ramai keluar mengundi.

"Perjalanan mengundi juga berjalan lancar tanpa kekecohan atau cubaan kempen mahupun raih undi.

"Dengan baki beberapa jam lagi, saya minta pengundi yang masih belum mengundi supaya keluar berbuat demikian sebelum pusat pengundian ditutup 5 petang," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media di Sekolah Menengah Agama Amalin Aishah Putri di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Aziz meninjau beberapa pusat pengundian diiringi pegawai kanan SPR.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 1:21 PM