Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: “Belum sah milik Terengganu,” itu pengakuan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berhubung pemilihan pemain import keempat skuad Penyu Jaime Braganca yang sebelum ini menjadi pilihan ketua jurulatih Abdul Rahman Ibrahim.

Beliau berkata, pengesahan sebelum ini yang menyatakan Braganca sudah menjadi milik Terengganu adalah tidak tepat kerana pemain itu belum lagi menandatangani sebarang kontrak bersama skuad Penyu selain beberapa dokumen lain yang belum dianalisis.

“Saya tidak menyalahkan Abdul Rahman berhubung pengumuman pemain itu bakal menyarung jersi Terengganu, itu mungkin pilihan beliau berbanding beberapa pemain import lain yang datang menjalani sesi latihan.

“Jawapan sama ada pemain itu akan berada dalam skuad Terengganu atau tidak adalah pada Selasa ini (esok) dalam mesyuarat pengurusan,” katanya semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan pemain berasal dari Portugal itu yang mendapat kerakyatan Timor Leste bakal menyarung jersi Terengganu untuk menggantikan Hassan Chaito yang ditamatkan kontrak kerana kecederaan, namun dinafikan Arpin yang menyatakan masih terlalu awal untuk mengikat pemain itu kerana masih ada masa selain prestasi pemain itu belum mencapai tahap yang dikehendaki.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata pemain itu perlu menunjukkan taraf kerakyatannya sebagai mana yang dimaklumkan selain beberapa dokumen lain termasuk rekod kecederaan, rekod kesihatan dan pelbagai borang lagi.

“PBSNT tidak mahu membuat kesilapan dengan mendaftar pemain yang tidak sihat dan mempunyai rekod tidak bagus, selain itu Braganca juga perlu membawa dokumen yang membuktikan dia sudah mendapat taraf kerakyatan Timor Leste,” katanya.

Mengenai prestasi semasa pemain, Arpin mengaku pemain kini berada pada tahap terbaik selepas berjaya layak ke suku akhir menundukkan Selangor 3-1 pada Rabu lalu.

“Semua pemain kini berada pada prestasi terbaik dan saya percaya pertemuan dengan Kelantan pada 4 April depan di Kuala Terengganu pemain mampu mencatat kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:44 AM