Oleh Roslen Fadzil

Pentas hiburan di Malaysia boleh dianggap ‘hidup’ dan bertuah kerana sentiasa terisi dengan aneka persembahan konsert dan majlis anugerah.

Itu melambangkan pihak pemerintah, kerajaan tempatan dan penaja bersikap terbuka dalam menyajikan pelbagai hiburan yang sesuai dan dianggap tidak keterlaluan.

Cuma sikap masyarakat sendiri yang harus dipertahankan kerana kita tidak boleh terlalu taasub dalam menikmati segala bentuk hiburan yang dipentaskan di negara kita.

Tentu kita tidak mahu kecelaan yang pernah berlaku sedikit masa lalu seperti pengambilan dadah yang membawa kematian serta insiden gadis Melayu bertudung memeluk bintang K-Pop berulang semula.

Kepincangan ini berlaku atas kesalahan kita sendiri yang seharusnya sedar setakat mana batas-batas berhibur. Siapa yang datang atau ke mana kita pergi kita tetap orang Timur, ada prinsip hidup tersendiri.

Tahun ini saja beberapa anugerah besar sudah dilangsungkan di ibu negara. Antaranya, Anugerah Juara Lagu Ke-29, Anugerah MeleTop Era dan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015.

Sebuah lagi yang pastinya ditunggu-tunggu ramai adalah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 yang akan berlangsung pada 5 April ini di Genting Highlands.

Apa yang saya lihat, tidak kira apa juga bentuk anugerah itu ia tentunya mempunyai hala tuju yang baik iaitu mengikiraf bakat-bakat seni di depan atau pun belakang tabir.

Sesetengah pemenang itu dipilih juri profesional dan banyak juga yang membabitkan undian terus daripada masyarakat.

Dengan cara ini kita dapat melihat pembabitan secara langsung peminat dalam menentukan jatuh atau bangunnya populariti seseorang artis itu melalui ABPBH dan acara lain yang sewaktu dengannya.

Ketika ini beberapa persembahan menarik sedang dan akan berlangsung di ibu negara. Puteri Gunung Ledang (PGL) In Concert masih lagi berlangsung sehing­ga esok di Istana Budaya (IB).

Ia menampilkan semula barisan pelakon utama Musical PGL iaitu Puan Sri Tiara Jacquelina Abdullah, Stephen Rahman-Hughes, Datuk AC Mizal, Adlin Aman Ramli dan Ida Mariana.

Selepas menyaksikan konsert itu Jumaat lalu, apa yang dapat dirumuskan, persembahan itu cuba memberi nafas baru kepada lagu-lagu asal PGL dari sudut gubahan muzik dan koreografi. Ia kini kedengaran lebih fusion dan terselit elemen EDM (Electronic Dance Music).

Malah persembahan Tiara ada unsur Lady Gaga selain Cirque du Soleil yang terkenal dengan seni artistik bercorak akrobatik. Saya kagum dengan kesan visual konsert itu walaupun di bucu hati terkilan dengan gangguan teknikal yang berlaku.

Hujung bulan ini pula sebuah konsert hebat akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC apabila penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah akan beraksi secara solo. Tentu ramai tertunggu-tunggu konsert itu termasuklah ibu saya sendiri yang juga peminat nombor satu Jamal!

Untuk itu saya sudahpun membeli tiket untuk ibu awal-awal agar tidak pula terlepas peluang.

Saya harap akan lebih banyak lagi persembahan berkualiti dipentaskan untuk tatapan rakyat Malaysia kerana negara kita semakin maju. Kita jumpa lagi di coretan lain. - [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 1:45 PM