SEMUA penerima anugerah beramah mesra dengan tetamu kehormat.
Oleh Nur Sabrina Samsudin


Pelajar Cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima hadiah sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-38 SMK Pulau Nyior Jitra, Kedah, baru-baru ini.

Penganugerahan itu bertujuan memberi peng­iktirafan kepada pelajar yang memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan utama, selain tanda penghargaan kepada ibu bapa atas kejayaan anak masing-masing.

Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Kedah, Abd Razak Mat berkata, majlis berkenaan juga sebagai satu sokongan dari sekolah untuk mewujudkan hubungan dua hala demi membantu melonjakkan kecemerlangan akademik.

“Langkah menjemput ibu bapa untuk bersama-sama meraikan kejayaan ini diharap mampu menyuntik semangat pelajar untuk berusaha lebih keras pada masa depan.

“Ini juga sejajar hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjayakan lagi matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi menjana kecemerlangan bersama,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar.

Turut dibentangkan ialah laporan sekolah merangkumi strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan pencapaian akademik, kurikulum dan sahsiah pelajar sentiasa cemerlang.

Antara program dijalankan ialah pembestarian PT3, SPM dan STPM dengan fokus kepada aktiviti kecemerlangan akademik, Program Ops Ponteng, Program Waris Prihatin, Program Pencegahan Dadah dan pemeriksaan air kencing dalam kalangan pelajar.

Beberapa pondok ilmu atau diskusi juga disediakan termasuk Kiosk Pidato sebagai tempat untuk pelajar berlatih dalam pidato dan bahas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 3:22 PM