LANA dan Daud.
LANA dan Daud.
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon seksi Lana Nodin, 35, akhirnya memperkenalkan bakal suami David McKeinzie, 35, yang bakal dikahwini pada 15 Mei depan.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin, berkenalan dengan jejaka dari Amerika Syarikat itu ketika bercuti ke Singapura pada 26 Oktober tahun lalu.

David atau nama Islamnya Mohd Daud McKeinzie juga bekas pemain bola tampar dan pernah mewakili Amerika Syarikat di Sukan Olimpik.

Lana berkata, dia tidak menyangka David benar-benar jatuh hati dengannya sejak pertemuan itu.

"Saya pada mulanya takut juga untuk menjalin hubungan serius dengan David kerana perbezaan agama kami. Ditambah, saya pun sudah banyak kali kecewa dalam cinta.

“Namun, kesungguhan David benar-benar menambat hati saya tatkala dia menyuarakan hasratnya memeluk Islam dengan rela," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Lana berkata, David memeluk Islam pada 5 Disember tahun lalu dan Lana menganggapnya sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.

Kata pelakon yang mendapat jolokan 'Pamela Anderson Malaysia' itu, dia mengharapkan majlis perkahwinannya nanti berjalan lancar.

Sementara itu, David yang kini menetap di Singapura sebagai jurulatih bola tampar dan mengusahakan akademi sendiri di negara jiran itu berkata, dia tertarik dengan Lana kerana sikap aktres berkenaan yang mudah mesra dan baik hati.

“Kali pertama berbual dengannya di telefon, saya dapat rasa kami serasi. Dia orang yang mampu membuatkan saya gembira dan ceria," katanya.

Apapun, selepas majlis pernikahan nanti, Lana akan mengikut David menetap di Amerika Syarikat selama tiga bulan.

Kata Lana, disebabkan itu sebaik menerima lamaran David pada Januari lalu, dia berusaha mencari tarikh sesuai untuk perkahwinan mereka.

Katanya, apa yang penting dan paling utama adalah majlis akad nikah mereka kerana dengan hubungan halal itu secara tidak langsung dapat menutup mulut orang daripada memperkatakan perkara kurang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 5:57 PM