Alor Setar: Kedah berpendapat Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS masih belum bersedia untuk menguat kuasa serta melaksanakan hukum Hudud.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Kerajaan Kedah mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta menganalisis terlebih dahulu apa yang berlaku di negeri Pantai Timur itu.

“Tak nampak lagi Kelantan bersedia untuk melaksanakan (hukum Hudud), sebab itu kita (Kedah) ambil pendirian tunggu dan lihat.

“Kita pantau apa yang dilalui Kelantan,” katanya di sidang media selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri Kedah, di sini.

Katanya, proses kelulusan bagi pelaksanaan hukum Hudud sebenarnya masih panjang dan mengambil masa yang lama kerana selepas melalui Dewan Undangan Negeri Kelantan, ia masih perlu menempuh beberapa proses lagi di Parlimen.

Khamis lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud, untuk dilaksanakan ke atas orang Islam di negeri itu.

Ditanya sama ada kerajaan negeri menyokong tindakan Kelantan meluluskan hukum Hudud, Mukhriz berkata, ia adalah isu dalaman Kelantan yang membabitkan hak dan keputusan mereka sendiri.

“Kita terima hakikat bahawa mereka berhak membuat pilihan sendiri. Jika ini hasrat dan kehendak rakyat Kelantan, siapalah kita untuk menafi hak mereka,” kata beliau.

Katanya, Kerajaan Kedah akan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat Kedah dan tidak terpengaruh dengan apa yang berlaku di Kelantan atau mencampuri urusan di negeri Pantai Timur itu.

Sementara itu, katanya, 155 keluarga yang terbabit dengan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Bandar Baharu bersetuju untuk berpindah ke kawasan penempatan baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri.

“Ini membolehkan projek RTB bernilai RM80 juta itu diteruskan,” kata Mukhriz.

Terdapat tiga RTB di Kedah ketika ini iaitu di Bandar Baharu, Alor Setar dan Pendang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 10:04 PM