X

Madrid: Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mungkin dikenakan hukuman gara-gara caranya meraikan gol apabila menyamakan kedudukan pada pertembungan ‘Clasico’ La Liga di Barcelona Ahad lalu, kata presiden liga bola sepak profesional Sepanyol (LFP).

Bukan kali pertama apabila dia menjaringkan gol di Nou Camp, Ronaldo dilihat meminta penyokong Barca supaya bertenang dan dia mengulangi perbuatan sama ketika menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-31.

Kapten Portugal itu, yang sering menerima kutukan, meraih reputasi cuba menyakitkan hati penyokong lawan dan dikritik hebat apabila mengoyakkan jersinya ketika meraikan kejayaan sepakan penalti pada final Liga Juara-Juara ke atas Atletico Madrid musim lalu.

“Kami perlu berhati-hati dengan tindakan provokatif pemain apabila dia menjaringkan gol atau mana-mana provokatif atau tindakan yang boleh mencetus keganasan dalam kalangan penonton,” ujar presiden LFP, Javier Tebas.

“Ia perlu dihukum daripada denda hingga penggantungan,” katanya. “Kami akan mengkajinya.”
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:03 AM