Kuala Lumpur: Bintang terjun negara Leong Mun Yee mahu terus konsisten dalam terjunan dan menyumbang pingat pada Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Kazan, yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 26 April ini.

Selepas menghadiahkan satu perak dan satu gangsa pada dua aksi terdahulu bersama gandingannya Cheong Jun Hong, Mun Yee, 30, tekad untuk memantapkan kawalan terjunan individunya.

“Saya mahu memperbaiki terjunan yang kadang kalanya tidak begitu menjadi supaya boleh menambah mata di kejohanan (di Kazan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri pelancaran Logo dan Kira Detik Hari Sukan Negara 2015 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Atlet yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata dia belum terfikir untuk bersara dan akan terus kekal fokus sehinggalah Sukan Olimpik Rio.

Selain menyertai kejohanan itu di Kazan, Mun Yee juga akan beraksi bersama pasangannya Jun Hoong pada siri kejohanan di London pada 1 hingga 3 Mei.

Mun Yee mengumpul 315.18 mata untuk meraih pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama dalam siri kejohanan dunia di Dubai dan meraih pingat perak pada pusingan pertama dalam acara sama di Beijing. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:13 AM