PELUMBA tempatan masih ketinggalan dengan pelumba antarabangsa.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad sedia memikul tanggungjawab lebih besar bagi melonjakkan reputasi sukan berkenaan.

Naim yang terkenal dengan “sentuhannya” melonjakkan acara berbasikal trek negara sehingga berjaya mengukir nama di pentas antarabangsa, kini menyuarakan kesediaan untuk turut merencanakan pembangunan pelumba lebuh raya ke peringkat lebih tinggi.

Ketika acara trek diketuai Azizuhasni Awang terus mencipta nama di pentas antarabangsa dan kejohanan besar, acara lebuh raya terus ketinggalan dan tidak mampu mencipta kejayaan yang diharapkan.

Malah pada peringkat Asia Tenggara iaitu Sukan SEA, pelumba lebuh raya negara tidak mampu meraih pingat emas selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2005 di Filipina.

Pada kejohanan lebih besar seperti Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) atau temasya lain, kebanyakan pelumba negara pulang dengan tangan kosong dibandingkan dengan pelumba trek negara yang sentiasa digeruni lawan.

“Saya bersedia memikul tanggungjawab sekiranya Ahli Majlis PKBM inginkan perubahan dan menaruh kepercayaan kepada saya. Jika dulu saya hanya menjaga acara trek saja, selepas ini jika diberikan kepercayaan, saya bersedia memantau semua disiplin berbasikal termasuk trek, lebuh raya dan BMX,” katanya.

Naib Presiden PKBM Omar Saad mengetuai jawatankuasa pembangunan lebuh raya pada penggal lalu (2012-2015) dengan seorang lagi Naib Presiden Amrun Misnoh mengetuai acara BMX.

“Kita mempunyai pelumba berbakat dan pernah layak ke Olimpik sebelum ini, cuma kita perlu mengurus dan mentadbir dengan cara baik untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pertandingan disertai.

“Saya percaya sedikit perubahan dalam aspek kejurulatihan dan pengurusan pasukan, kita mampu layak ke Sukan Olimpik 2020, jika gagal layak pada 2016 di Rio. Malah kita mahu pastikan mampu kembali memenangi pingat di Sukan Asia dan Komanwel,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:18 AM