IZHAM bersama sebahagian daripada 200 model permainan koleksinya.

“Barang permainan adalah untuk ‘dimain’ dan saya bukan pengumpul yang suka menunjuk-nunjuk,” kata pengumpul tegar, Mohd Izham Mohd Aris.

Izham tidak bersetuju dengan pengumpulan secara ekstrem membazirkan wang.

“Saya hanya membeli model permainan yang wataknya saya minati,” kata pensyarah berusia 30-an itu.

Izham mempunyai kolek­si lebih 200 model permainan dan ia disimpan dalam sebuah bilik yang diubahsuai menjadi mini studio di rumahnya di Puncak Alam, Selangor.

“Selepas penat bekerja, meluangkan masa berkreatif dengan permainan-permainan ini boleh meredakan stres,” kata bapa kepada anak perempuan berusia setahun itu.

Aktiviti yang sering ­dilakukan ialah mengambil gambar model permainan dalam pelbagai situasi untuk dimuat turun di laman sosial, khususnya

di blog peribadinya, rkdesigns.blogspot.com, selain Facebook dan Instagram.

Antara model kegemaran Izham adalah watak daripada siri Transformers, Gundam, Master Chief daripada permainan video HALO, Ironman, Starcom dan Figma.

Pada pandangannya, setiap model permainan itu mempunyai ciri-ciri perwira dan kisah tersendiri yang boleh dijadikan teladan untuk diamalkan dalam kehidupan sebenar.

“Ketika kecil dulu watak kartun yang saya tonton mempunyai ciri-ciri dan personaliti yang kuat. Sebagai kanak-kanak kita mudah tertarik,” katanya yang mula mengumpul permainan sejak zaman kanak-kanak.

Izham yang kini bekerja di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Unisel, turut mengagumi nilai kesenian yang halus serta aspek kejuruteraan dalam pembuatan model permainan itu.

Minat itu tidak pernah

dihalang ibu bapa, namun beliau digalakkan mengumpul wang sendiri untuk membeli sesuatu permainan.

“Bapa memperkenalkan saya kepada dunia Transformers dan ibu membelikan set Gundam pertama saya. Pada mereka lebih baik saya menghabiskan masa bermain permainan ini di rumah daripada keluar dan terbabit dengan gejala tidak sihat,” katanya.

ADIWIRA DAN ANIMASI

Hobi mengumpul model permainan berkembang seiring dengan penerbitan komik adiwira, animasi atau kartun serta penghasilan filem adaptasi seperti Star Wars dan Lord of The Rings.

Pengumpul model ­permainan bermula sebagai peminat kepada siri-siri ini.

Selain itu, terdapat ­ribuan model permainan lain yang popular dalam kalangan pengumpul, antaranya ­model kartun G.I Joe, anak patung Barbie serta jenama patung lain, model kereta

api dan keluaran khas daripada Lego.

Pengumpul mempunyai komuniti tersendiri dan sering berjumpa untuk bertukar pandangan atau mempamerkan koleksi masing-masing.

Selain hobi, mengumpul model permainan boleh menjadi pelaburan.

Koleksi yang dikategorikan sebagai edisi terhad, yang jarang ada atau ‘vintaj’, sentiasa mempunyai permintaan. Harga sesuatu model boleh melonjak secara tiba-tiba apabila ada tayangan filem atau siaran semula animasi itu di televisyen.

JANA PENDAPATAN

Pembabitan Izham dalam bidang ini tidak terhenti setakat mengumpul kerana turut menjana pendapatan tambahan menerusi kemahiran meng­ubahsuai sesuatu model mengikut kehendak pelanggan, selain membina model daripada set kit, mereka cipta ‘diorama’ serta me­ngecat figura aksi dan robot.

Diorama adalah latar ­belakang/backdrop yang timbul untuk pameran sesuatu model, biasanya digunakan untuk promosi filem

“Sebenarnya hobi ini kalau dibuat secara positif, ia akan jadi positif.

“Daripada permainan ini, orang ramai boleh meningkatkan kemahiran imaginasi dan kreativiti di samping kemahiran bercerita. Kemahiran ini boleh membimbing dalam kehidupan seseorang,” kata­nya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 12:37 PM