IBU dan bapa serta seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. FOTO L Manimaran
IBU dan bapa serta seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. FOTO L Manimaran
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Ibu dan bapa serta seorang pengasuh kepada dua beradik yang berusia tiga dan enam tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, hari ini atas dua pertuduhan kes penderaan kanak-kanak terbabit hingga seorang daripadanya meninggal dunia pada 3 Mac lalu.

Pasangan terbabit iaitu Mohammad Hajimeer Dollah, 30, dan isterinya S Nasavalli, 38, atau nama Islamnya Halimah Abdullah didakwa dengan sengaja membiarkan anak mereka Muhammad Darwen Raj Abdullah, 6, dan Nor Sarinya Abdullah, 3, tinggal tanpa pengawasan hingga menyebabkan kecederaan kepada mereka pada 28 Disember 2014 hingga 3 Mac 2015 di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, di sini.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 33c Akta Kanak-Kanak 2001 di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini iaitu kes membabitkan Nor Sarinya di Mahkamah Majistret 2, manakala kes membabitkan Muhammad Darwen di Mahkamah Majistret 3.

Manakala pengasuh P Nalani Devi, 26, didakwa menganiaya dan membiarkan dua beradik terbabit hingga mengalami kecederaan fizikal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Suami isteri berkenaan diwakili peguam Kathan Maruthamuthu, manakala pengasuh di wakili peguam EP Seeralasittan dan Chiang Mei Wan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Naidatuh Athirah Azman dihadapan Majistret Suhaima Mohd Noor bagi Mahkamah Majistret 2 dan Haslinda A Raof di Mahkamah Majistret 3.

Bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapi oleh suami isteri terbabit mereka dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan dua penjamin, manakala pengasuh pula dikenakan jamin RM35,000 dengan empat penjamin bagi dua pertuduhan itu.

Kedua-dua Majistret turut menetapkan 29 April ini bagi sebutan semula dua kes berkenaan.

Dalam kejadian pada 3 Mac lalu, Nor Sarinya ditemui mati dalam keadaan mulut berlumuran darah di kediaman pengasuhnya dan hasil bedah siasat mendapati kesan penderaan serta kekerasan terdapat pada tubuh badan mangsa.

Selain itu, kesan kecederaan juga terdapat pada abangnya Muhamnad Darwen dipercayai akibat didera dan sehubungan itu polis menahan seorang wanita berusia 26 tahun yang juga pengasuh kedua-dua kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 2:47 PM