PENGERUSI Faber Datuk Seri Ismail Shahudin (kanan) dan Azmir pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa Faber.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Subang Jaya: Faber Group Berhad (Faber), syarikat pembangunan dan pengurusan aset di bawah UEM Group Berhad (Kumpulan UEM) optimis perubahan nama kepada UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) akan membawa kepada identiti lebih kukuh bagi syarikat itu dalam perkhidmatan berskala penuh bagi pasaran tempatan dan global pada masa akan datang.

Barisan pemegang saham Faber bersetuju dan meluluskan perubahan nama syarikat terbabit pada Mesyuarat Agung Luar Biasa(EGM), semalam berikutan penggabungan antara Opus Group Berhad dan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) dengan nilai RM1.15 bilion sekali gus menjadi syarikat terbabit sebagai peneraju pembangunan dan pengurusan aset terbesar di rantau Asia Tenggara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmir Merican berkata penggabungan melalui jenama baru itu akan mewujudkan perkhidmatan menyeluruh bagi pengurusan pembangunan aset fasiliti merangkumi perundingan infrastruktur dan pengurusan fasiliti, hartanah, tenaga dan kesihatan.

“Gabungan ketiga-tiga entiti ini akan memanfaatkan sinergi bagi semua keupayaan dan perkhidmatan kami di bawah satu jenama unggul dan UEM Edgenta kini akan menyediakan perkhidmatan pengurusan aset bersepadu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri EGM di sini, semalam.

Beliau berkata penjenamaan terbabit bukan sekadar pertukaran nama malah ia membabitkan hasrat untuk fokus kepada peningkatan kualiti yang membezakan syarikat daripada pesaing lain di samping matlamat untuk meningkatkan operas, proses, prestasi, inovasi dan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Penjenamaan ini dilaksanakan dengan tujuan untuk menyelaraskan dan mempamerkan hubungan dan jenama identiti syarikat memandangkan ia terdiri daripada tiga syarikat daripada berlainan sektor dengan pemegang sahan utama iaitu Kumpulan UEM yang kini memiliki 70 peratus kepentingan dalam UEM Edgenta.

“Walaupun begitu, kami tidak akan mendedahkan sebarang jumlah atau nilai kerana baru menandatangani perjanjian konsesi. Kami akan mengumumkan mengenai maklumat ini secara lebih terperinci pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas mengenai segmen hartanah Faber, Azmir berkata Kumpulan itu kini memiliki lebihan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM260 juta untuk projek Prima Villa yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Untuk perniagaan perkhidmatan sokongan hospital, kami sedang menguruskan aset penjagaan kesihatan dan pelupusan di 81 hospital kerajaan di kawasan utara (Semenanjung), Sabah dan Sarawak. Bermula April ini, kami akan memiliki 38 buah hospital di wilayah utara. Untuk Sabah dan Sarawak, kami akan mentadbir konsesi ini melalui dua syarikat yang berbeza dari setiap negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:11 AM