FROST (kanan) memantau sesi latihan pemain negara.
FROST (kanan) memantau sesi latihan pemain negara.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu negara, Jeremy Gan menyambut baik pengstrukturan semula barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) walaupun beliau bakal kehilangan jawatan yang disandang sekarang.

Menurut Jeremy, walaupun selepas ini jawatan ketua jurulatih perseorangan dan beregu dimansuhkan, apa yang penting pengarah teknikal, Morten Frost Hansen mampu menerajui serta mempunyai arah tuju.

“Tidak kisah siapa yang mengambil tempat ini (ketua jurulatih perseorangan dan beregu) paling penting ialah ada arah tuju buat pemain, jika tidak skuad kebangsaan tidak boleh bergerak,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kelmarin, mesyuarat exco BAM membincangkan mengenai pengstrukturan semula barisan kejurulatihan dan kontrak baru bersama Frost.

Antara kandungan perbincangan itu dan diterangkan Frost selepas mesyuarat berkenaan bahawa tidak ada lagi jawatan ketua jurulatih perseorangan mahupun beregu, semua berada pada posisi sama melatih pemain kebangsaan.

“Apa yang penting setiap jurulatih bersedia menerima dan mendengar arahan Frost. Kalau tidak terima, baik keluar dari BAM. Jadi saya rasa jangan sampai tidak terima perubahan ini. Pada saya pengstrukturan semula ini sangat bagus.

“Semua kena beri kerjasama demi kebaikan pemain. Sistem baru ini boleh membina semula pasukan. Begitu juga dengan kontrak jurulatih, saya harap boleh diselesaikan secepat mungkin. Apa yang penting ada arah tuju,” kata bekas pemain negara itu.

Kata Jeremy, sama ada jurulatih mahu sambung atau tidak, mungkin berdasarkan tawaran kontrak baru berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:17 AM