GAMBAR hiasan.
Oleh Hafiz Ithnin dan Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Kuala Lumpur: Pengumuman Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, memberikan satu harapan kepada rakyat khususnya mengenai isu perumahan yang sentiasa menjadi perhatian golongan pembeli berpendapatan rendah.

Beberapa projek penting diumumkan meliputi Skim Perumahan Belia, PR1MA, Program Perumahan Rakyat, Rumah Idaman Rakyat dan Rumah Aspirasi Rakyat.

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Malaysia (HBA), Chang Kim Loong berkata, usaha kerajaan bagi memastikan pemilikan hartanah oleh rakyat mendapat keberkesanan yang optimum adalah dengan memastikan pembangunan ini diletakkan kepada beberapa kriteria utama iaitu jumlah unit yang mencukupi, lokasi strategik, jenis bangunan atau binaan yang sesuai dan lokasi yang mempunyai populasi bagi menyokong kewujudan perumahan terbabit.

Beliau berkata, tidak dinafikan sebelum ini ada perumahan atau kediaman yang dibangunkan di lokasi yang kurang mendapat sambutan dan ia tidak menepati objektif untuk memastikan rakyat memiliki unit yang dibina oleh sesetengah pemaju.

"Perkara ini penting bagi memastikan usaha proaktif kerajaan untuk menangani isu perumahan kerana rakyat berdepan dengan bebanan harga hartanah yang semakin memuncak.

"Ini adalah apa yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan ke atas keperluan rakyat terhadap perumahan khususnya mampu milik" katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, perlu ada infrastruktur dan kemudahan selain jaringan pengangkutan yang memudahkan pembeli memiliki unit di sesuatu kawasan.

Chang berkata, antara isu lain yang perlu dititikberatkan adalah setiap pembangunan perlu diberikan perlindungan yang benar-benar tulus di bawah Akta Pembangunan Perumahan (Pembinaan dan Pelesenan) 1966 Pindaan 2007 melalui Surat Perjanjian dan Pembelian supaya pembeli boleh mendapat jaminan selama 24 bulan ke atas unit dimiliki.

Selain itu, katanya, jika berlaku sebarang permasalahan pada mana-mana projek mampu milik yang dibangunkan pemaju, pembeli boleh mendapat pampasan sebanyak 10 peratus atas kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:05 AM